NASIHIN tidak meletakkan sasaran khusus selain mengharapkan kesemua pemain dapat mengadaptasi persaingan di peringkat antarabangsa. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
NASIHIN tidak meletakkan sasaran khusus selain mengharapkan kesemua pemain dapat mengadaptasi persaingan di peringkat antarabangsa. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Skuad hoki projek khas wanita negara, sekurang-kurangnya perlu memastikan bahawa mereka tidak menjadi pasukan belasahan apabila turun beraksi dalam saingan Piala Asia yang akan berlangsung di Muscat, Oman bermula 21 hingga 26 Januari ini.

Diundi dalam Kumpulan A bersama-sama Jepun, India dan Singapura, skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli Ibrahim dilihat sukar untuk melepasi peringkat kumpulan.

Begitupun harus diingat Piala Asia itulah kejohanan antarabangsa pertama yang akan disertai The Malaysian Tigress yang rata-rata dibarisi pemain muda bawah 21 tahun selepas setahun setengah skuad itu dibentuk.

Kata Nasihin, tiada sasaran khusus diletakkan kepada skuad negara itu selain mengharapkan kesemua pemain dapat mengadaptasi persaingan di peringkat antarabangsa dengan cepat ketika hanya dapat menjalani latihan sebanyak 11 sesi sebelum berlepas ke Oman.

"Piala Asia adalah kelayakan ke Piala Dunia. Sudah pasti semua pasukan akan bersungguh-sungguh untuk menang.

"Kita tahu India bukan pasukan yang mudah. Mereka menduduki tempat keempat Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan kita sendiri tahu corak permainan mereka. Semua pemain mereka mempunyai kemahiran tinggi dan dianggap sebagai pasukan yang perlu diberi perhatian.

"Jepun pula baru menang ATC (Trofi Juara-Juara Asia). Sudah pasti rentak itu masih lagi ada. Mereka juga satu pasukan yang bekerja keras dan permainan mereka mudah.

"Saya mahu pemain kita ambil peluang ini untuk kita melihat sejauh mana prestasi pasukan negara," katanya yang turut mengingatkan pemain berhati-hati dengan ancaman dari Singapura.

Untuk rekod pencapaian terbaik skuad negara adalah meraih pingat gangsa ketika edisi sulung pada 1985 di Seoul, Korea Selatan manakala pada edisi 2017 di Kakamigahara, Jepun, Malaysian Tigress menamatkan saingan di tempat kelima.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 8:16 PM