Seramai lima pemain senior dibawa untuk membantu memperkuatkan pasukan serta membimbing pemain muda kali ini. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Seramai lima pemain senior dibawa untuk membantu memperkuatkan pasukan serta membimbing pemain muda kali ini. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kejohanan Hoki Piala Asia Wanita, Muscat, Oman akan menjadi tugasan pertama buat Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan dengan seramai 20 pemain akan mengalas tugas di kejohanan yang akan membuka tirai pada 21 hingga 28 Januari 2022 ini.

Skuad bimbingan Mohd Nasihin Nubli itu diundi dalam Kumpulan A bersama India, Jepun dan Singapura sementara Kumpulan B pula menampilkan China, Korea, Thailand dan Indonesia.

Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas dalam Kumpulan A dan B bakal menempah tiket ke separuh akhir dalam kejohanan yang turut menjadi platform kelayakan bagi Kejohanan Piala Dunia Wanita 2022.

Bagi ketua jurulatih Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan, Nasihin menjelaskan beliau bersama barisan kejurulatihan membuat penilaian pemain berdasarkan usaha yang ditunjukkan oleh pemain.

"Seramai lima pemain senior dibawa untuk membantu memperkuatkan pasukan serta membimbing pemain muda kali ini.

"Pemilihan dibuat selepas menjalani beberapa sesi latihan hoki serta perlawanan persahabatan menentang Pasukan Lelaki Elit MBPJ.

"Pemilihan pemain berdasarkan beberapa kriteria dan yang paling utama adalah tahap kualiti teknikal skil pemain-pemain.

"Ia sangat penting bagi memudahkan mereka menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan serta tempo permainan yang pantas terutamanya di peringkat yang tinggi," katanya.

Berdasarkan senarai, 12 pemain bakal membuat penampilan pertama di pentas antarabangsa justeru Nasihin mengambil sikap realistik dengan keadaan serta tahap pasukan bimbingannya, mahu barisan pemainnya menggunakan sepenuhnya pendedahan bermain dengan pasukan terbaik di Asia.

"Pasukan ini rata-ratanya dibarisi oleh pemain berusia 23 tahun ke bawah dan menyertai kejohanan peringkat senior tertinggi di Asia untuk kali pertama sudah dianggap sebagai satu pencapaian yang membanggakan apatah lagi mereka akan berdepan dengan pasukan-pasukan yang beraksi di Sukan Olimpik serta Piala Dunia.

"Secara realistik, dengan keadaan semasa dan kekangan yang kami hadapi, kami sedar di mana tahap pasukan jika dibandingkan dengan pasukan-pasukan gergasi Asia yang lain.

"Kami terpaksa mengambil tindakan berani untuk menyertai kejohanan ini dan berharap kejohanan ini menjadi satu pendedahan terbaik untuk mereka selain membantu untuk membentuk satu pasukan mantap serta mempunyai kualiti bersaing di peringkat antarabangsa pada masa hadapan," tambahnya lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 January 2022 @ 8:35 PM