MEGAT Azrafiq berkata pemain negara dilihat beraksi dengan baik apabila berjaya mengikut apa yang dirancangkan oleh Wallace. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
MEGAT Azrafiq berkata pemain negara dilihat beraksi dengan baik apabila berjaya mengikut apa yang dirancangkan oleh Wallace. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Barisan pemain hoki remaja negara melakarkan keputusan positif apabila mencatatkan keputusan seri 1-1 menentang Argentina pada aksi perlawanan persahabatan menjelang saingan Piala Dunia Remaja di Bhubaneswar, India, semalam.

Skuad yang diketuai oleh penyerang Mohamad Akhimullah Anuar Esook seterusnya akan berdepan perlawanan persahabatan kedua bertemu Belanda esok dengan penolong Megat Azrafiq Megat Termizi menuntut pemain menggunakan peluang yang ada mempertajamkan lagi aksi masing-masing.

Katanya, berdasarkan prestasi yang dipamerkan ketika menentang Argentina, barisan pemain negara dilihat beraksi dengan baik apabila berjaya mengikut apa yang dirancangkan oleh ketua jurulatih, Wallace Tan.

"Keputusan yang dicapai dalam perlawanan menentang Argentina itu bukan faktor utama tapi objektif yang diinginkan dalam perlawanan itu tercapai dari segi segala struktur.

"Apa yang dapat dilihat di sini pemain main ikut apa yang dirancangkan. Pemain mula faham apa yang perlu diterapkan dalam perlawanan dari segi pertahanan dan serangan, itu yang menjadi keutamaan kita," katanya.

Skuad negara masih mempunyai baki dua hari lagi sebelum saingan sebenar bermula dengan Malaysia akan membuka tirai kejohanan menentang Chile pada 24 November jam 2.30 petang waktu Malaysia sebelum turun bertemu Belgium dua hari kemudian.

Skuad bimbingan Wallace seterusnya akan menentang Afrika Selatan pada 27 November, perlawanan terakhir peringkat kumpulan pada jam 5 petang.

Untuk rekod Malaysia menamatkan saingan peringkat kumpulan di tempat ketiga pada edisi Piala Dunia Hoki Remaja 2016 dan terpaksa akur berada di kedudukan ke-11 keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 November 2021 @ 1:37 PM