FITRI (kanan) diasak pemain New Zealand, Mitas-Wells Leo di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.
FITRI (kanan) diasak pemain New Zealand, Mitas-Wells Leo di Stadium Hoki Tun Razak, semalam.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Hasrat skuad hoki negara untuk melakar kemenangan kedua ke atas New Zealand tidak kesampaian apabila sekadar seri 3-3 pada perlawanan persahabatan kedua semalam menjelang persiapan ke Piala Sultan Azlan Shah, bermula Sabtu ini.

Jangkaan ketua jurulatih negara Stephen Van Huizen bahawa lawan mereka itu akan mempamerkan aksi lebih baik berbanding ketika tewas 2-8 pada perlawanan persahabatan pertama kelmarin nyata benar.

“Memang seperti saya katakan sebelum ini New Zealand pasti akan mempamerkan aksi lebih baik dan mereka membuktikannya hari ini (semalam).

“Pada masa sama, barisan pemain saya juga gagal beraksi pada tahap terbaik apabila bermula dengan agak perlahan.

“Bagaimanapun, kebangkitan yang dilakukan di hujung perlawanan untuk mengikat lawan satu petanda positif,” katanya selepas perlawanan semalam.

Secara keseluruhan Stephen merumuskan keputusan satu kemenangan dan satu seri pada perlawanan persahabatan dengan New Zealand amat memberangsangkan.

“Kami akan cuba mendapatkan satu lagi perlawanan pemanas badan di Ipoh sebelum turun pada perlawanan pertama,” katanya.

Sam Lane meletakkan New Zealand di depan pada minit ke-19 menerusi pukulan sudut penalti sebelum Marhan Jalil menyamakan kedudukan pada minit ke-22, juga menerusi pukulan sudut penalti.

Pemain tengah Fitri Saari meletakkan Malaysian Tigers di depan buat kali pertama selepas berjaya mencari ruang dalam kawasan D untuk menjaringkan gol padang pada minit ke-53.

Namun, seminit kemudian Stephen Jenness kembali menyamakan kedudukan sebelum Nick Rose menjadikan kedudukan 3-2 hasil jaringan padang pada minit ke-55.

Perjudian Malaysia mengeluarkan penjaga gol S Kumar dan bermain secara menyerang untuk mencari gol penyamaan membuahkan hasil menerusi pukulan sudut penalti Faizal Saari pada minit ke-59.

Senarai 18 pemain terakhir yang terpilih untuk beraksi di Ipoh akan diumumkan hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 3:06 AM