KEADAAN jejantas yang runtuh dan menghempap beberapa kenderaan berhampiran Universiti Antarabangsa Florida di Miami, kelmarin. - EPA
KEADAAN jejantas yang runtuh dan menghempap beberapa kenderaan berhampiran Universiti Antarabangsa Florida di Miami, kelmarin. - EPA

Miami: Empat terkorban manakala enam lagi cedera selepas jejantas yang baru dibina di atas jalan utama berhampiran sebuah kolej di sini, runtuh kelmarin.

Beberapa kenderaan juga dilaporkan dihempap konkrit jejantas berkenaan yang dilaporkan dibina menggunakan teknologi terbaru itu.

Seorang anggota polis, Juan Carlos Llera yang berada di kawasan kejadian memberitahu dia terdengar bunyi kuat seperti letupan.

“Tempat ini kelihatan seperti kawasan bencana. Tidak ubah seperti satu letupan bom,” katanya.

Jejantas itu yang menghubungkan kampus Universiti Antarabangsa Florida ke kawasan kediaman pelajar, baru dipasang kurang seminggu sebelum ini.

Ketua Jabatan Menyelamat Bomba Miami-Dade, Paul Estopinan berkata, sekurang-kurangnya lapan kereta terperangkap di bawah jambatan seberat 950 tan yang siap dibina Sabtu lalu.

Sementara itu, Senator Florida, Bill Nelson memberitahu Fox News, angka kematian dianggarkan antara enam dan 10 orang namun pihak berkuasa di Miami-Dade County tidak memberi angka rasmi. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Mac 2018 @ 6:47 AM