DM/EJ

BINTANG UFC, Conor McGregor ditahan polis selepas dituduh ‘memijak’ telefon bimbit seorang peminat di pantai Miami, Amerika Syarikat.

Siaran berita pagi Local10 News negara itu melaporkan McGregor ditahan selepas dia dan peminat terbabit meninggalkan sebuah kelab malam di hotel Fontainebleau Miami Beach, Florida, jam 5 pagi semalam.

Pertengkaran berlaku selepas peminat terbabit cuba merakam foto bersama bintang UFC itu.

McGregor, 30, kini berdepan tuduhan salah laku jenayah dan rompakan menggunakan kekerasan.

Laporan lanjut penahanan itu turut menyatakan McGregor 'menampar telefon di tangan lelaki terbabit sebelum memijak telefon itu beberapa kali’.

Dia kemudian dikatakan mengutip telefon berkenaan dan membawa telefon itu bersamanya, kata laporan itu.

Menurut mangsa, lelaki berusia 22 tahu dari Slough, United Kingdom (UK) berkata telefon itu berharga sekitar £755 (RM4,070).

Polis dilaporkan menghabiskan masa menyiasat insiden itu sebelum McGregor ditahan.

Atlet UFC dari dari Dublin itu kemudian dihantar ke penjara Miami-Dade.

McGregor berada di Selatan Florida meraikan harijadi ibunya ke-60 bersama keluarga, menurut kiriman terkini di profil media sosial terbarunya.

Local10 melaporkan McGregor kini diikat jamin sebanyak $12,500USD (RM51,000).

McGregor baru selesai melengkapkan khidmat masyarakat selepas terbabit dalam serangan terhadap bas dinaiki sekumpulan atlet UFC, April lalu.

McGregor diarahkan melakukan kerja kasar termasuk menjaga kebersihan rumah ibadat di Brooklyn menurut peguamnya, Bruce Maffeo.

Bintang UFC itu kerap mengemaskini aktivitinya di media sosial untuk tatapan pengikutnya termasuk mengirim fotonya melawat pusat perlindungan alligator di Everglades.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 1:12 PM
McGregor ditahan kerana memijak telefon bimbit peminat. FOTO REUTERS/Instagram
McGregor ditahan kerana memijak telefon bimbit peminat. FOTO REUTERS/Instagram