VICTOR Osimhen meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
VICTOR Osimhen meraikan jaringannya. FOTO REUTERS
AFP

Naples: Victor Osimhen digambarkan sebagai sebagai pemain cukup penting selepas menjaringkan gol untuk juara Itali, Napoli ketika seri 1-1 dengan Barcelona, awal pagi tadi.

Penyerang Nigeria itu menyamakan kedudukan ketika berbaki 15 minit perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Stadio Diego Armando Maradona, dalam perlawanan pertamanya sejak pulang daripada tugasan di Piala Negara-Negara Afrika.

Pemain berusia 25 tahun itu menyamakan kedudukan gol pembukaan Robert Lewandowski pada minit ke-60, yang dilihat cukup penting selepas Barcelona menguasai hampir sebahagian besar perlawanan.

"Dia pemain yang hebat untuk kami," kata kapten Napoli, Giovanni Di Lorenzo kepada Amazon Prime Video.

"Dia kembali dengan sikap yang betul. Kami tahu Osimhen akan melakukannya kerana dia seorang pemain yang hebat dan profesional. Dia akan membantu kami dalam perlawanan yang akan datang," katanya lagi.

Kali terakhir Osimhen bermain untuk Napoli ketika tewas 0-2 di Roma sejurus sebelum Krismas, apabila dia adalah salah seorang daripada dua pemain daripada pasukannya yang dibuang padang.

Gol kesembilan kelabnya musim ini hadir pada detik yang penting, bukan sahaja dalam perlawanan itu tetapi untuk keseluruhan kempen Napoli ketika dibimbing oleh pengurus ketiga musim ini iaitu Francesco Calzona.

Calzona mempunyai masa kurang daripada 48 jam untuk melakukan persediaan menghadapi perlawanan pertamanya sebagai pengurus selepas menggantikan Walter Mazzarri dan gol Osimhen memberi peluang kepada Napoli untuk meneruskan kemaraan.

Napoli akan turun pada perlawanan timbal balik bulan depan di ibu kota Catalan dengan mengetahui bahawa selagi Osimhen beraksi, peluang sentiasa ada untuk menjaringkan gol tanpa mengira persembahan keseluruhan pasukan.

"Ia adalah titik permulaan yang baik. Kami tahu bahawa kami perlu beraksi lebih baik lagi dan kini kami mempunyai peluang pada perlawanan timbal balik nanti," kata Di Lorenzo.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Februari 2024 @ 8:47 AM