Lionel Messi (dua kiri) beraksi bersama Barca dalam La Liga Sepanyol. FOTO AFP
Lionel Messi (dua kiri) beraksi bersama Barca dalam La Liga Sepanyol. FOTO AFP
Agensi

KETUA jurulatih Argentina, Lionel Scaloni, percaya ketua pasukan Barcelona, Lionel Messi, selesa di juara La Liga Sepanyol itu.

Messi dan masa depannya menjadi topik perbincangan sejak barisan bintang Barca itu berselisih faham dengan Pengarah Bola Sepak kelab itu, Eric Abidal.

Selepas Abidal mendakwa beberapa pemain tidak bekerja keras sebelum pemecatan Ernesto Valverde pada bulan lalu.

Messi kembali menyerangnya di media sosial sekali gus menimbulkan keraguan mengenai masa depannya di Camp Nou.

Scaloni, begitupun, tidak kisah dengan situasi ketua pasukan Argentina dan pemenang enam gelaran anugerah Ballon d'Or itu yang kontraknya akan berakhir pada penghujung musim 2020-21.

“Saya lihat dia (Messi) berada dalam keadaan baik,” kata Scaloni kepada wartawan.

“Tempoh hari, ketika bertemu Real Betis, dia merupakan pemain terbaik di atas padang walaupun tidak menjaringkan gol. Dia membantu gerakan menghasilkan jaringan dan terbabit dengan setiap peluang yang ada.

“Dia dalam keadaan baik dan selesa. Dia perlu menentukan masa depannya sendiri tetapi saya fikir dia dalam situasi selesa.”

“Saya sama sekali tidak bimbang,” tambahnya.

“Dia selesa bersama pasukan kebangsaan dan Barcelona. Apa yang akan berlaku pada masa depan, saya tidak dapat mengulasnya.”

Argentina menamatkan saingan Copa Amerika 2019 di kedudukan ketiga namun pasukan bimbingan Scaloni itu akan sekali lagi berpeluang untuk dinobatkan juara Amerika Selatan apabila dipilih menjadi tuan rumah bersama Colombia.

Messi masih memburu gelaran senior pertamanya bersama Argentina, yang menduduki tempat kedua Piala Dunia 2014 sebelum tewas pada final Copa America berturut-turut pada 2015 dan 2016.

“Saya fikir adalah perkara penting untuk mencuba (memenangi Copa America) bahawa dia tahu kami akan terus mencuba dan menjadi protagonis,” tambahnya lagi.

“Dia (Messi) bukan satu-satunya individu yang ingin memenangi sesuatu untuk pasukan kebangsaan. Kami semua mahu menang termasuk jurulatih, rakan sepasukannya. Kami akan cuba dan berharap dapat melakukannya."

Argentina diundi dalam Kumpulan A (Zon Selatan) dalam Copa America 2020 yang turut membabitkan Chile, Uruguay, Paraguay, Bolivia dan pasukan undangan, Australia.

La Albiceleste akan membuka tirai kejohanan dengan berdepan Chile di Buenos Aires pada 12 Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 3:18 PM