AKSI perlawanan antara Perak FC dan Sri Pahang dicemari dengan insiden balingan suar oleh penyokong di Stadium Perak, malam ini. FOTO Bernama
AKSI perlawanan antara Perak FC dan Sri Pahang dicemari dengan insiden balingan suar oleh penyokong di Stadium Perak, malam ini. FOTO Bernama
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


Ipoh: Perlawanan Perak FC menentang Sri Pahang FC di Stadium Perak sebentar tadi bagi saingan Liga Super dicemari insiden balingan suar ke padang pada minit-minit terakhir perlawanan.

Ia yang dipercayai dilakukan penyokong tuan rumah yang tidak berpuas hati susulan prestasi menghampakan skuad The Bos Gaurus apabila dibenamkan skuad pelawat 2-3.

Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal polis serta petugas stadium dengan perlawanan yang masih berbaki beberapa minit sebelum wisel penamat bertiup, diteruskan.

Babak pertama perlawanan dilihat seimbang apabila menyaksikan asakan bertali arus pasukan tuan rumah kendalian Chong Yee Fatt dan pasukan pelawat yang dibimbing Dollah Salleh.

Ia termasuk dua peluang dicipta tuan rumah pada 10 minit terawal melalui penyerang import baharunya, Nana Poku dan Muhammad Adib Abdul Ra'op masing-masing pada minit ketujuh dan kelapan namun dinafikan penjaga gol lawan, Helmi Eliza Elias.

Ia dibalas ciptaan peluang pertama Sri Pahang melalui penyerangnya, Abdul Malik Mat Ariff sejurus minit ke-10 namun digagalkan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy yang juga kapten pasukan tuan rumah.

Ia disusuli ciptaan peluang skuad pelawat tujuh minit selepas itu melalui penyerang, Kenny Athiu namun berjaya dipatahkan, sebelum gol pertama dijaringkan Sri Pahang melalui penyerang, Aung Kaung Mann pada minit ke-33.

Pada 10 minit awal babak kedua masih menyaksikan asakan seimbang dari kedua-dua pasukan namun pasukan pelawat tidak menunggu lama selepas itu untuk meledak gol kedua melalui penyerangnya, Athiu iaitu pada minit ke-57.

Bagaimanapun cubaan tuan rumah merapatkan jurang gol berhasil apabila pengadil menghadiahkan sepakan penalti pada minit ke- 66 selepas pertahanan tuan rumah, Muhammad Shakir Hamzah dikasari dalam kotak penalti dan ia berjaya disempurnakan sepakan Leandro

Memasuki minit-minit terakhir, Sri Pahang meneruskan momentum cemerlangnya dengan meraih gol ketiga sekali lagi melalui tandukan Athiu pada minit ke-87, hasil hantaran Azam Azih yang sekaligus menjadikan keputusan Sri Pahang 3-1 Perak.

Selepas empat minit masa tambahan, Perak FC sekali lagi berjaya meledakkan gol bagi merapatkan jurang jariangan melalui Careca, untuk kedudukan muktamad Sri Pahang FC 3-2 Perak FC.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 12:36 AM