PEKAN berkata Liga Malaysia semakin meningkat dan sudah tentu gaji-gaji pemain pun seiring. FOTO NAZRI ABU BAKAR
PEKAN berkata Liga Malaysia semakin meningkat dan sudah tentu gaji-gaji pemain pun seiring. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menegaskan isu tunggakan gaji berpunca daripada sikap segelintir pasukan yang tidak mengukur baju di badan sendiri.

Katanya, tidak wajar sekiranya masalah tunggakan gaji dihalakan kepada Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sedangkan yang ghairah berbelanja dengan menawarkan gaji lumayan kepada pemain import mahupun tempatan adalah daripada pengurusan kelab sendiri.

Menurutnya, MFL sudah menjalankan tugas sebaiknya dengan sering mengingatkan pasukan tentang kepentingan kecekapan dalam pengurusan kewangan.

Namun sikap lewa segelintir pihak yang tidak mengambil berat dengan melengah-lengahkan pembayaran gaji akhirnya menjerat pasukan ke dalam kancah tunggakan gaji.

"Kita sebenarnya patut menuding jari kepada mereka yang berhutanglah, bukannya tuding kesalahan kepada pihak yang menyediakan platform ini.

"MFL sudah menyediakan liga yang sebenarnya kita sendiri lihat taraf Liga Malaysia semakin meningkat dan sudah tentu gaji-gaji pemain pun seiring.

"Sepatutnya pasukan-pasukan dah tahu kemampuan mereka daripada awal dan tidak patut ada dah isu gaji ini," katanya.

Semalam, Arena Metro melaporkan pendedahan Penaung Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengakui Kedah Darul Aman FC dan Kuala Lumpur City FC (KL City) antara pasukan terbaharu masuk dalam senarai tunggakan gaji bersama Melaka United, Sarawak United dan Kelantan FC.

Tunku Ismail meminta agar beberapa pengurusan kelab menjaga kebajikan pemain dengan lebih bertanggungjawab.

Terdahulu, akhbar ini mendedahkan kemelut tunggakan gaji sudah mula menjalar ke seluruh negara babitkan satu pasukan di Utara tanah air iaitu Kedah, dua pasukan di wilayah tengah semenanjung babitkan KL City dan Negeri Sembilan FC.

Manakala dikhabarkan satu pasukan di Borneo turut berdepan isu kelewatan pembayaran gaji.

Tunku Ismail juga akui, kualiti Liga Malaysia semakin meningkat namun isu tunggakan gaji masih mengganggu saingan domestik sekali gus mencalar imej pertandingan tempatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Oktober 2023 @ 4:16 PM