DJOKOVIC puas selepas menundukkan Alcaraz. FOTO Reuters
DJOKOVIC puas selepas menundukkan Alcaraz. FOTO Reuters
AFP

Paris: Novak Djokovic mara ke final Terbuka Perancis buat kali ketujuh dalam keadaan apabila pemain nombor satu dunia, Carlos Alcaraz mengalami kekejangan dan ketegangan 'seluruh badan' yang menyukarkan untuk memberi cabaran.

Djokovic, 36, menang aksi separuh akhir 6-3, 5-7, 6-1, 6-1 untuk menjadi pemain lelaki tertua dalam tempoh 93 tahun mara ke final di mana dia akan memburu kejuaraan Roland Garros ketiga dan berpeluang mencipta rekod Grand Slam ke-23.

Drama separuh akhir itu berlaku ketika Djokovic menyamakan kedudukan set ketiga 1-1 dengan Alcaraz kelihatan bergelut bagi menyesuaikan diri dalam keadaan panas terik 33 darjah selsius di Paris.

Alcaraz, 16 tahun lebih muda daripada Djokovic, mengalami kekejangan di bahagian betis kanan.

Djokovic, yang beraksi di separuh akhir Grand Slam buat kali ke-45, menyapu bersih lima permainan seterusnya untuk mendahului 2-1.

Alcaraz meninggalkan gelanggang untuk berehat lima minit di bilik air tetapi keterbatasan fizikalnya dengan mudah membuka ruang kepada Djokovic mara ke final Grand Slam buat kali ke-34.

"Nasib yang sukar dan tidak menyebelahi Carlos, perkara terakhir yang anda mahukan ketika beraksi ialah kekejangan. Saya merasai apa yang dilaluinya dan berharap dia pulih seterusnya kembali tidak lama lagi," kata juara 2016 dan 2021 Djokovic.

"Saya menghormatinya yang berjuang sehingga ke akhir. Saya memberitahunya bahawa dia masih muda dan dia akan menang berkali-kali."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 8:32 AM