LOPETEGUI (tengah) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan skuad Sepanyol. -Foto Reuters
LOPETEGUI (tengah) memberi arahan kepada pemainnya ketika sesi latihan skuad Sepanyol. -Foto Reuters
Reuters

MADRID: Setiap pemain skuad Sepanyol akan membawa pulang bonus 825,000 euro (RM3.87 juta) sekiranya menjulang Piala Dunia di Russia, lapor akhbar Sepanyol hari ini.

Harian sukan Marca yang berpangkalan di Madrid melaporkan bahawa Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) mahu memberi insentif terhadap skuad itu lebih dua kali ganda diberikan Jerman kepada pemain mereka iaitu 350,000 euro (RM1.64 juta).

Ia juga mengatasi ganjaran yang ditawarkan pasukan pilihan Brazil iaitu 800,000 euro (RM3.75 juta) seorang.

Ganjaran bakal diberikan itu adalah peningkatan mendadak berbanding 600,000 euro (RM2.81 juta) yang diberikan kepada setiap pemain skuad Sepanyol yang beraksi pada Piala Dunia 2010.

Ia juga dianggap ganjaran terbesar berbanding  720,000 euro (RM3.37 juta)  ditawarkan empat tahun lalu ketika mereka tersingkir pada peringkat kumpulan di Brazil.

Laporan itu menyatakan tiada seorang pun anggota skuad Julen Lopetegui akan menerima sebarang bentuk bonus jika gagal ke suku akhir.

Laporan turut menambah bahawa presiden bari RFEF Luis Rubiales akan memastikan setiap kakitangan persekutuan itu akan menerima bonus jika La Roja muncul juara pada 15 Julai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Jun 2018 @ 10:49 AM