JAE HONG merencana taktikal khusus bagi berdepan Kesan Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super, malam esok. -FOTO Ihsan KDN FC
JAE HONG merencana taktikal khusus bagi berdepan Kesan Darul Aman (KDA) FC dalam aksi Liga Super, malam esok. -FOTO Ihsan KDN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan Darul Naim FC merencana taktikal khusus untuk bertandang melawan Kedah Darul Aman (KDA) FC dalam saingan Liga Super, malam esok.

Ketua Jurulatihnya, Park Jae Hong berkata, setakat ini persiapan pasukan sangat lancar dan barisan pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk meraih sesuatu yang positif di Stadium Darul Aman.

Katanya, mereka mengakui kehebatan lawan sebagai pasukan yang kuat apatah lagi Sang Kenari ini baru meraih kejayaan mara ke separuh akhir Piala FA.

"Tetapi kami tidak tinggal diam sepanjang dua minggu liga bercuti, kami melakukan banyak latihan khusus dan merencana beberapa taktikal untuk bertandang ke arena lawan.

"Keadaan pemain juga sangat baik, mereka bersemangat dan bekerja keras," katanya.

Park berkata, meskipun pasukan ketiadaan beberapa pemain akibat kecederaan, namun perancangan mereka lancar kerana skuad kijang emas memiliki pemain setara.

Katanya, dia yakin pemain dapat melaksanakan tugas di Kedah kerana pemain gantian mampu mengisi kekosongan pemain yang cedera.

Tambah beliau, pasukan turut berwaspada dengan beberapa tonggak utama lawan seperti Syafiq Ahmad, Sony Norde dan satu, dua pemain lain yang disifatkan ancaman besar pasukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Julai 2024 @ 12:28 PM