AKSI Baddrol cuba mengekang pemain FC Seoul. FOTO AFC
AKSI Baddrol cuba mengekang pemain FC Seoul. FOTO AFC
Firdaus Hashim


BADI pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL) terus menghantui kelab dari Malaysia apabila Kedah gagal melepasi peringkat itu selepas tumbang 1-4 di tangan kelab Korea Selatan, FC Seoul di Stadium Piala Dunia Seoul, malam ini.

Sebelum ini, dua pasukan tempatan iaitu JDT dan Perak turut gagal melepasi saingan itu dengan skuad Harimau Selatan mencuba sebanyak dua kali pada 2016, 2017 dan 2018 manakala The Bos Gaurus terkandas musim lalu.

Perak yang dibimbing Mehmet Durakovic ketika itu tumbang 1-5 kepada Ulsan Hyundai FC  juga dari Korea Selatan.

Bagaimanapun, kemenangan FC Seoul di halaman sendiri itu turut dibantu tindakan kurang bijak tonggak pertahanan Kedah, Renan Alves yang tertampan bola dalam kotak penalti pada minit ke-35, sekali gus terpaksa beraksi dengan 10 pemain sepanjang 55 minit permainan.

Park Chu Young yang mengambil sepakan penalti itu mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Shahril Saa'ri yang sebelum itu cemerlang menghalang deretan percubaan berbahaya tuan rumah.

Memasuki babak kedua, Kedah yang mara selepas menundukkan kelab Hong Kong, Tai Po FC 5-1 di Stadium Darul Aman pada pusingan kedua terus ketinggalan selepas Park Dong Jin menanduk masuk bola hantaran Hwang Hyun Soo di minit ke-49.

Anak buah Aidil Sharin Sahak tidak mudah mengalah apabila berjaya merapatkan kedudukan hasil sepakan percuma mengelirukan Baddrol Bakhtiar yang gagal dikeluarkan Osmar Barba hingga tertanduk ke gawang sendiri buat menaikkan semula keyakinan pemain Hijau Kuning.

Begitupun, Osmar menebus kembali kesilapannya dengan menjaringkan gol ketiga menerusi sepakan percuma pada minit ke-62 yang menewaskan Shahril.

FC Seoul yang menamatkan saingan Liga Korea Selatan di tangga ketiga musim lalu terus mengasak kubu Kedah dan tonggak import dari Uzbekistan, Ikromjon Alibaev menambah derita pelawat hasil percubaan pada minit ke-92.

Kemenangan itu membolehkan FC Seoul mengisi tempat dalam Kumpulan E bersama Beijing Guoan (kelab China), Chiangrai United (kelab Thailand) dan Melbourne Victory (kelab Australia).

JDT muncul wakil tunggal dari Malaysia yang akan bersaing dalam Kumpulan G bersama Guangzhou Evergrande (kelab China), Suwon Bluewings (kelab Korea Selata) dan Vissel Kobe (kelab Jepun).

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 January 2020 @ 8:17 PM