JERABEK (kanan) ketika menandatangani perjanjian sebagai import baru bersama Presiden KDN FC, Rozi di Kota Bharu. FOTO Ihsan KDN FC
JERABEK (kanan) ketika menandatangani perjanjian sebagai import baru bersama Presiden KDN FC, Rozi di Kota Bharu. FOTO Ihsan KDN FC
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Pertahanan tengah berasal Republik Czech, Michal Jerabek menjadi import terbaharu bagi memperkukuh pasukan Kelantan Darul Naim Football Club (KDN FC), menghadapi Liga Super 2024/2025.

Kehadiran pemain kelab Liga 1 Slovakia, MFK Zemplin Michalovce itu diumumkan pasukan hari ini.

Presiden KDN FC, Rozi Muhamad berkata, Michal berpengalaman beraksi di liga utama negara kelahirannya serta Kazakhstan dan pernah mendapat panggilan kebangsaan mewakili skuad 21 Republik Czech.

Katanya, pemain itu mempunyai banyak kualiti teknikal yang akan menambah kekuatan barisan pertahanan skuad Kijang Emas.

"Kami memerhati keupayaan beliau dan berdasarkan beberapa faktor termasuk nasihat daripada jurulatih, jadi saya gembira dia memilih untuk bersama KDN FC.

"Gaya permainan dan karakter beliau sesuai dengan skuad musim ini dan kami percaya dia (Michal) akan membantu pasukan menjadi bertambah kuat," katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pemain berusia 30 tahun itu turut pernah mewakili beberapa pasukan utama di Fortuna Liga dan Kazakhstan.

Michal yang berketinggian 1.9 meter adalah pertama kali beraksi di pentas Liga ASEAN.

Dia dibawa masuk ke KDN FC dalam usaha pasukan memperkukuh jentera pertahanan pasukan bagi menghadapi saingan Liga Malaysia yang akan bermula Mei depan.

Terdahulu KDN FC mengumumkan Oday Kharoub, pemain Palestin dan empat pemain Korea Selatan bagi mengisi pemain import pasukan musim 2024/2025.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Mac 2024 @ 5:33 PM