ODAY meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
ODAY meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Amalina Alias


Kota Bharu: Kelantan Darul Naim FC menarik nafas lega apabila berjaya meraih tiga mata pertama selepas menewaskan PDRM FC 1-0 dalam saingan Liga Super, sebentar tadi.  

Terlebih dahulu, anak buah Park Jae Hong bermula dengan langkah kanan apabila Oday Kharoub menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke 28.  

Sepakan penalti diterima hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas pertahanan tuan rumah, Michal Jerabek dijatuhkan dalam kotak penalti.  

Saat akhir babak pertama, Bae Kyeonghwan gagal mencetak gol kedua Kijang Emas apabila bola rembatannya melencong ke sisi tiang gol.

Keputusan separuh pertama kekal 1-0 meskipun diberi lima minit masa tambahan. 

Memasuki babak kedua, kem tuan rumah terus ceria apabila sepakan leret import, Valdumar Augusto masuk ke dalam gawang gol pada minit ke 48.  

Namun, keputusan dibatalkan pengadil perlawanan Muhammad Shukor Zulkiflee selepas mendapati Valdumar berada pada kedudukan ofsaid. 

Minit ke 58, penjaga gol, Mohd Muhaimin Mohamad cemerlang mendakap bola hasil percubaan bahaya Bruno Suzuki.

Lorongan Oday minit ke 61 hampir memberikan gol kedua KDN namun Kyeonghwan gagal menyempurnakan peluang apabila bola rembatannya melambung tinggi.

Penyudah KDN terus tumpul apabila tandukan Valdumar gagal menghasilkan gol minit ke 77 dan Oday gagal menyempurnakan sepakan percuma minit ke 88.

Gol tunggal Oday menamatkan saingan dengan keputusan penuh KDN FC mengatasi The Cops 1-0 sekalo gus, menceriakan 2,132 penonton di stadium.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Jun 2024 @ 11:16 PM