MESSI berjalan berhampiran piala Copa America selepas menerima pingat perak. FOTO AP
MESSI berjalan berhampiran piala Copa America selepas menerima pingat perak. FOTO AP
PEMAIN Chile meraikan kemenangan meereka di Stadium Nasional  Santiago. FOTO Reuters
PEMAIN Chile meraikan kemenangan meereka di Stadium Nasional Santiago. FOTO Reuters
pemain Chile meraikan kejayaan menjuarai Copa America di depan Istana Presiden negara mereka. - Foto AFP
pemain Chile meraikan kejayaan menjuarai Copa America di depan Istana Presiden negara mereka. - Foto AFP

Santiago: Kalah kali kedua perlawanan akhir dalam masa setahun amat pedih dan menyeksakan bagi pemain tengah Argentina, Javier Mascherano, selepas negaranya tewas 1-4 tendangan penalti kepada Chile yang menjuarai Copa America awal pagi tadi.

Julai tahun lalu, Argentina ditewaskan oleh Jerman pada perlawanan akhir Piala Dunia dan kekalahan pagi tadi selepas seri 0-0 hingga masa tambahan menambah kemarau Argentina meraih piala penting sejak Copa America 1993.

“Kekalahan itu menyeksakan, ia kesedihan yang amat sangat " kata Mascherano, antara beberapa pemain Argentina yang bersedia bercakap dengan media selepas perlawanan akhir di Stadium Nasional Santiago.

Pemain tengah Barcelona yang berusia 31 itu berkata: “Semua orang tahu bagaimana perasaan saya apabila memakai jersi ini.

“Kami mempunyai peluang baik tetapi gagal memenanginya. Saya tak boleh menjelaskan kenapa.

“Saya antara pemain tertua dalam skuad ini dan kami perlu menerima hakikat kekalahan ini. Malang kerana tidak boleh memberi apa yang peminat mahukan.”

Kemenangan Chile itu memadam impian Lionel Messi yang berulang kali menyatakan keinginan besarnya memenangi kejuaraan besar bersama Argentina selepas meraih semuanya pada peringkat kelab bersama Barcelona.

Namun, pemerhati sukan menganggap pemain terbaik dunia empat kali itu walaupun menjaringkan satu-satunya sepakan penalti Argentina, gagal menyerlah ketika permainan masa sebenar.

Kekalahan kepada Chile itu akan memarakkan kembali kritikan Messi tidak mampu memberi persembahan terbaiknya ketika bersama skuad kebangsaan berbanding prestasi hebat bersama kelabnya.

“Jika Argentina berjaya mengawal permainan pada waktu tertentu, Messi akan memastikan kami menyedari kenapa dia pemain terbaik dunia, namun dia gagal,” kata Jurulatih Chile, Jorge Sampaoli.

Persembahan Messi dalam Copa Amerika tidak memberangsangkan tetapi prestasinya meningkat dari satu perlawanan ke perlawanan seterusnya dan membantu Argentina membelasah Paraguay 6-1 di separuh akhir. Walaupun tidak menjaringkan gol. namun dia membantu menghasilkan lima gol.

Pada perlawanan akhir semalam, dia melakukan banyak hantaran yang silap serta mudah dipintas pertahanan lawan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Julai 2015 @ 3:04 PM