SON Heung-min. FOTO Reuters
SON Heung-min. FOTO Reuters
AFP

Seoul: Bintang Korea Selatan Son Heung-min selamat menjalani pembedahan selepas mengalami kecederaan di muka, kata Persatuan Bola Sepak Korea (KFA), hari ini.

Bagaimanapun badan induk itu enggan menyatakan sama ada dia dapat beraksi untuk Piala Dunia di Qatar.

Penyerang Tottenham Hotspur itu mengalami kecederaan teruk, dilaporkan patah pada rongga matanya semasa kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Marseille minggu ini.

Penyokong Korea Selatan yang bimbang sejak itu menunggu dengan penuh debaran maklumat terkini mengenai Heung-min kerana bimbang kempen Piala Dunia mereka akan musnah tanpa kapten skuad kebangsaan itu.

"Kami telah dimaklumkan oleh Spurs bahawa pembedahan berjalan lancar dan berjaya.

"Kami rasa ketika ini bukan masa untuk bercakap mengenai status Son di Piala Dunia. Kami tidak mengatakan ia mustahil tetapi sekarang bukan masa untuk membincangkan perkara itu," kata pegawai Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) kepada AFP.

Heung-min mendominasi halaman sukan akhbar Korea Selatan, semalam termasuk ada yang memaparkan gambar rajah terperinci tengkorak manusia untuk menunjukkan kedudukan sebenar kecederaannya.

Korea Selatan akan memulakan kempen mereka di Qatar menentang Uruguay pada 24 November selain menentang Ghana dan Portugal dalam Kumpulan H.

Heung-min yang berkongsi kasut emas Liga Perdana musim lalu dengan Mohamed Salah dari Liverpool, mempunyai peminat yang ramai di Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 November 2022 @ 7:48 PM