GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Suraya Roslan

Kuala Lumpur: Seramai 20,000 usahawan luar bandar disasarkan berdaftar dengan aplikasi e-dagang yang dibangunkan khusus untuk meningkatkan ekonomi peniaga industri kecil dan sederhana (IKS), e-Desa menjelang hujung tahun ini.

Platform e-Desa juga turut membuka peluang pekerjaan baharu kepada kumpulan penghantar makan serta 'runner'.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pendaftaran usahawan IKS yang memasarkan produk melalui platform e-Desa dijangka bertambah menjelang Ramadan ini sehingga hujung tahun.

"Setakat ini, seramai 500 usahawan luar bandar yang sudah berdaftar dan dijangka meningkat kepada 1,000 menjelang Ramadan dan 20,000 pendaftaran menjelang hujung tahun.

"Agensi di bawah KPLB juga bersedia untuk membantu penduduk luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui platform berkenaan.

"E-Desa boleh bersama-sama Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), memainkan peranan bersama-sama untuk kesejahteraan rakyat iaitu bagaimana nak meningkatkan pendapatan dan hasil masyarakat luar bandar khususnya peniaga kecil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Aplikasi e-Desa di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, aplikasi itu sudah menembusi pasaran di seluruh negara dan diperluaskan kepada pengusaha barangan kering dan basah, inap desa dan pelbagai perkhidmatan lain membabitkan kumpulan PKS dari luar bandar.

"KPLB melihat e-Desa berpotensi untuk dibangunkan dengan melihat ia seiring dan melengkapi program Desa Mall@KPLB yang menjadi platform usahawan tempatan berniaga secara dalam talian dan fizikal.

"Kita di KPLB mempunyai banyak agensi yang memberi pinjaman, geran dan khidmat nasihat kepada peniaga kecil.

"Diharap e-Desa akan memberi peluang dan ruang kepada produk 'orang kampung' dipasarkan dengan lebih meluas dan bakal menjadi aplikasi wajib bagi setiap rakyat Malaysia terutama untuk mendapatkan produk serta perkhidmatan buatan tempatan," katanya.

E-desa yang dibangunkan pasangan suami isteri yang juga usahawan, Saiful Zaharin Zakariya dan Fadhilah Azmi dari Kuala Nerang adalah aplikasi e-dagang memfokuskan jualan produk dan perkhidmatan IKS termasuk pertanian, hasil laut, makanan, inap desa, barang mentah dan buah-buahan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Februari 2022 @ 3:27 PM