GUARDIOLA mahu Citizens tenang pada aksi final Piala Liga malam ini. FOTO/MANCHESTER CITY
GUARDIOLA mahu Citizens tenang pada aksi final Piala Liga malam ini. FOTO/MANCHESTER CITY
AFP

MANCHESTER: Pengurus Manchester City Pep Guardiola tidak mahu perasaan gementar menggugat persediaan pendahulu Liga Perdana Inggeris itu menjelang pertemuan mereka dengan Arsenal pada final Piala Liga malam ini untuk merebut trofi sulungnya.

Harapan City untuk menjulang empat gelaran berakhir Isnin lalu dalam aksi tegang pada pusingan kelima Piala FA yang menyaksikan mereka tewas 0-1 kepada kelab divisyen ketiga Wigan Athletic.

Biarpun dengan trofi Liga Perdana hampir pasti berada dalam tangan dan tiket ke suku akhir Liga Juara-Juara juga hampir pasti, Guardiola mengakui wujud rasa gementar pada diri dan rakan sepasukannya pada final pertama Piala Liga buat mereka.

Jurulatih dari Catalan yang menjulang 21 trofi ketika mengendalikan Barcelona dan Bayern Munich menggesa anak buahnya tenang dan menikmati perlawanan itu.

“Ini adalah final pertama dan sudah pastilah anda lebih gementar berbanding yang seterusnya,” kata Guardiola.

“Saya fikir ia perlawanan yang perlu kami nikmati. Ia perlawanan akhir. Kami di sini untuk bermain perlawanan seperti ini, mengapa perlu gementar? Mengapa perlu risau mengenai kemenangan?”

City berdepan Arsenal yang mempunyai rekod baik di stadium berkenaan di mana mereka pernah menang tiga Piala FA dan tiga Perisai Komuniti dalam tempoh empat musim.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Februari 2018 @ 10:07 AM