CASAS berpuas hati melihat kesungguhan pemain mengikuti latihan selepas cuti Aidilfitri. FOTO MOHD RAFI MAMAT
CASAS berpuas hati melihat kesungguhan pemain mengikuti latihan selepas cuti Aidilfitri. FOTO MOHD RAFI MAMAT
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Perubahan jadual saingan Liga Futsal Perdana Kebangsaan Malaysia (MPFL) 2024 memberi ruang lebih kepada jurulatih pasukan Pahang Rangers FC, Gerard Casas memperkemaskan lagi skuad bimbingannya.

Skuad Tok Gajah yang kini berada di tangga kedua liga selepas melalui empat perlawanan sepatutnya melayan kunjungan KL City esok namun diubah ke 18 Mei depan.

Menurut Casas, sebagai jurulatih tidak terlalu bimbang perubahan jadual perlawanan liga kerana pasukan bimbingannya sentiasa bersedia mengharungi saingan musim ini yang membabitkan penyertaan lapan pasukan.

Katanya, selepas selesai cuti Aidilfitri lebih dua minggu kem Pahang Rangers telah memulakan sesi latihan minggu ini, latihan fasa pertama lebih kepada usaha mengembalikan kecergasan pemain yang berehat panjang sambil menikmati pelbagai makanan istimewa pada Syawal lalu.

"Pemain tidak berhadapan masalah apabila jadual perlawanan liga berubah, mereka dapat menumpukan pada sesi latihan yang diadakan setiap hari selepas selesai cuti Aidilfitri.

"Sekiranya ada peluang kita akan mengadakan perlawanan persahabatan dengan mana-mana pasukan yang berminat dalam usaha membentuk pasukan yang lebih berkesan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, bermulanya saingan MPFL musim ini tumpuan Pahang Rangers ialah mencatat kemenangan pada setiap perlawanan dalam usaha mempertahankan kejuaraan liga yang disandang musim lalu.

Casas berkata, walaupun bakal berhadapan tentangan sengit daripada pasukan lawan, misi meraih tiga mata pada setiap perlawanan menjadi tumpuan pemain.

"Saya berpuas hati melihat kesungguhan pemain mengikuti latihan selepas cuti Aidilfitri, mereka dilihat begitu bersemangat mengikuti setiap aktiviti diadakan.

"Saya yakin selepas seminggu latihan pemain kembali cergas dan memulakan saingan liga seterusnya memburu piala liga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 April 2024 @ 6:17 PM