SKUAD negara gagal meraih sebarang mata dalam Kumpulan D setakat ini. FOTO FAM
SKUAD negara gagal meraih sebarang mata dalam Kumpulan D setakat ini. FOTO FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Perjuangan skuad bawah 23 tahun (B-23) di Piala Asia B-23 sudah terhenti di peringkat kumpulan namun tidak bermakna perlawanan terakhir menentang Kuwait hanya dianggap sebagai pelengkap jadual semata-mata sebelum pulang ke tanah air.

Situasi terbabit ditekankan Pengendali skuad B-23 negara Juan Torres Garrido apabila mahu barisan anak buahnya mengakhiri perjuangan di pentas Piala Asia B-23 Qatar dengan bermaruah iaitu mencatat kemenangan menentang Kuwait.

Beliau berkata, harapan menggunung masih diletakkan kepada barisan pemain muda negara untuk mencatatkan kemenangan bagi memastikan mereka tidak pulang dengan tangan kosong.

"Pemain Malaysia berada di sini bukan sahaja untuk diri kita sendiri, tetapi juga untuk mewakili warna bola sepak Malaysia. Satu-satunya perkara yang saya harapkan ialah pemain akan berusaha untuk itu (menang ke atas Kuwait)," luah jurulatih dari Sepanyol itu.

Malaysia ketika ini menghuni tangga ketiga kumpulan D tanpa sebarang mata selepas tewas pada dua perlawanan menentang Uzbekistan dan Vietnam.

Aksi Malaysia menentang Kuwait boleh dianggap sebagai pelengkap jadual selepas kedua-dua pasukan sah tersingkir selepas tewas dua aksi awal peringkat kumpulan.

Malah, keputusan terbabit juga memadam impian Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mahu melihat skuad B-23 negara mampu melangkah ke separuh akhir dalam usaha merebut slot Olimpik Paris 2024.

Mengikut rekod, tiga pasukan terbaik di Piala Asia B-23 akan mara secara automatik ke Sukan Olimpik 2024 sementara pasukan keempat akan mengharungi 'play-off' menentang wakil Afrika, Guinea.

Pencapaian terbaik skuad Harimau Muda pada kempen Piala Asia B-23 adalah mara ke suku akhir edisi 2018 sebelum tewas 1-2 di tangan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 April 2024 @ 12:47 PM