ANTARA aksi skuad negara bertemu Kuwait malam tadi. FOTO IHSAN FAM
ANTARA aksi skuad negara bertemu Kuwait malam tadi. FOTO IHSAN FAM
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Sasaran skuad bawah 23 tahun (B-23) negara di pentas Piala Asia B-23 Qatar jelas sekali ke 'laut' selepas mencatatkan keputusan tewas 'hatrik' dalam semua perlawanan peringkat kumpulan D.

Keputusan itu menyaksikan skuad kendalian Juan Torres Garrido tiada apa yang ingin dibanggakan apabila pulang ke tanah air selain prestasi dipamerkan pemain muda boleh dikatakan cukup buruk sepanjang kempen Piala Asia B-23 itu.

Garrido berkata, keputusan buruk itu jelas sekali bukanlah kehendak semua pihak terutama barisan pemain selepas mereka sudah bertungkus lumus beraksi di atas padang bagi mendapatkan keputusan terbaik untuk pasukan.

Jurulatih berasal dari Sepanyol itu berkata, faktor tiga perlawanan berturut-turut dalam tempoh tujuh hari menyebabkan pemain kepenatan sekali gus gagal mempamerkan aksi terbaik pada perlawanan terakhir menentang Kuwait.

"Secara keseluruhannya, pasukan kurang memuaskan dan kami memohon maaf kepada semua penyokong bola sepak tanah air kerana menghampakan harapan mereka.

"Kami memiliki banyak peluang namun rata-rata pemain sudah keletihan selepas mengharungi tiga perlawanan dalam tujuh hari menyebabkan mereka kurang bertenaga."

"Jika dilihat pada setiap perlawanan, kami mencipta peluang sebelum lawan, namun kebanyakan gol lawan datang dari bola mati, dan pasukan yang mendahului mempunyai kelebihan terbesar," katanya, dalam sidang media selepas perlawanan menentang Kuwait.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Al-Jonoub malam tadi menyaksikan skuad muda negara menutup kempen kumpulan D Piala Asia B-23 Qatar dengan tangan kosong apabila gagal mencatatkan sekurang-kurangnya keputusan seri untuk semua perlawanan diharungi mereka.

Skuad muda negara tewas 1-2 kepada Kuwait sepakan penalti yang disempurnakan Salman Mohammed dan Talal Al Qaisi manakala gol Malaysia pula disumbangkan Haqimi Azim Rosli.

Berdasarkan kepada semua perlawanan kumpulan D yang diharungi Malaysia menyaksikan skuad muda negara hanya menjaringkan satu gol dengan dibolosi enam gol.

Malah, skuad B-23 negara terus bermurah hati apabila tidak pernah gagal sedekah penalti kepada lawan hingga menyebabkan mereka tewas semua perlawanan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 April 2024 @ 12:41 PM