BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. -FOTO NSTP
BEKAS pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Tolonglah cari pertahanan tenang dan tidak cepat menggelabah ketika berada di kawasan atau kubu sendiri.

Itu saranan bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail terhadap skuad bawah 23 tahun (B-23) yang terlalu gopoh di kawasan penalti sendiri hingga memberi ruang dan peluang kepada lawan menyumbat gol.

Jamal Nasir berkata, pemain pertahanan seharusnya lebih tenang dan mampu mengawal keadaan terutamanya ketika keadaan 'huru-hara' di depan gol sendiri dalam usaha memastikan gawang sendiri tidak dibolosi.

" Apa yang terjadi dalam skuad muda negara pula berbeza, ketika dalam kawasan kotak penalti sendiri mahu bermain agresif dan tidak cepat mengawal keadaan atau mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

" Pemain lawan sudah pastinya mahu mengambil peluang yang ada dengan melakukan apa saja cara supaya dapat penalti sekali gus memberi kelebihan pada mereka.

" Perlu diingatkan bahawa pertahanan adalah bahagian paling penting dalam pasukan. Jika pertahanan mantap sudah pastinya lawan tidak boleh menjaringkan gol dan pasukan tidak akan tewas," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Kempen skuad muda negara di Piala Asia B-23 berakhir lebih awal selepas tewas buat kali kedua berturut-turut dalam aksi Kumpulan D apabila tumbang 0-2 di tangan Vietnam di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha, Qatar malam tadi.

Kekalahan itu yang kedua selepas turut tewas 0-2 kepada Uzbekistan sekali gus kekal tanpa sebarang mata

Gol skuad bimbingan Hoang Anh Tuan diraih menerusi sepakan percuma Khuat Van Khang pada minit 39 dan penalti yang disempurnakan Vo Hoang Minh Khoa pada minit ke-60.

Skrip sama dapat disaksikan apabila pertahanan negara terus menjadi punca dengan kali ini Muhammad Ubaidullah Shamsul Fazili mengasari lawan menyebabkan Vietnam memperoleh sepakan percuma dan penalti yang menyumbang kepada kekalahan Malaysia.

Mengikut rekod, skuad muda negara sudah sedekah empat penalti kepada lawan bermula pada perlawanan persahabatan menentang China dan terakhir adalah pada pertemuan menentang Vietnam malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 April 2024 @ 1:57 PM