VALVERDE (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.  FOTO AFP
VALVERDE (dua dari kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan. FOTO AFP
Reuters

Madrid: Pemain tengah Real Madrid, Federico Valverde menjaringkan gol hebat pada babak kedua manakala Marco Asensio meledak gol lewat permainan bagi membolehkan juara bertahan menewaskan RB Leipzig 2-0 di tempat sendiri dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi tadi.

Pemain Uruguay, Valverde tenang menewaskan pertahanan lawan dengan kawalan bola menarik sebelum merembat kencang di minit ke-80.

Namun juara 14 kali itu gagal menepati statusnya sebelum jaringan Valverde apabila hanya mampu membuat satu percubaan tepat manakala Leipzig turut mempunyai peluang tetapi tidak cukup tajam dalam kotak penalti.

Real melengkapkan kemenangan menerusi rembatan kencang pemain gantian, Asensio pada masa kecederaan selepas mendapat hantaran Toni Kroos.

Jurulatih Real, Carlo Ancelotti memuji Valverde yang memecah kebuntuan jaringan dan berkata dia menggesa pemain Uruguay itu lebih banyak melakukan percubaan.

"Apa mengejutkan saya ialah dia kurang menjaringkan gol. Dia hanya jaring satu gol musim lalu. Saya kata kepadanya dia mempunyai kaki dan sepakan yang kencang. Oleh itu dia perlu menjaringkan sekurang-kurangnya 10 gol musim ini," kata jurulatih Real itu.

Dia turut mengakui pasukannya beraksi di bawah tahap sebenar.

"Ia bukan prestasi fantastik daripada kami tetapi kami mahu mengurangkan serangan balas mereka dan itu sebab kami tidak beraksi dengan tekanan tinggi di atas padang," katanya.

Gergasi Sepanyol itu kini mendahului Kumpulan F dengan enam mata daripada dua perlawanan manakala Leipzig tercorot tanpa sebarang mata. Skuad Ancelotti akan menerima kunjungan pasukan di tangga kedua Shakhtar Donetsk dalam aksi seterusnya pada 5 Oktober manakala Leipzig menjadi tuan rumah perlawanab menentang Celtic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 September 2022 @ 8:36 AM