Paulo Josue (kiri) diasak pemain Melaka United FC pada saingan Piala Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
Paulo Josue (kiri) diasak pemain Melaka United FC pada saingan Piala Malaysia. FOTO Eizairi Shamsudin
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketua pasukan Kuala Lumpur City FC (KL City), Paulo Josue mengakui Johor Darul Ta'zim (JDT) adalah lawan yang sukar dan tidak mudah untuk ditundukkan dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Selasa ini.

Jelasnya, reputasi hebat selaku juara lapan kali Liga Super pastinya meletakkan skuad Harimau Selatan selaku pilihan untuk memenangi aksi kemuncak itu.

Bagaimanapun, itu tidak bermakna Josue sudah mengibarkan bendera putih terlalu awal apabila sebaliknya menegaskan apa sahaja boleh berlaku dalam perlawanan akhir itu.

Katanya, pasukan yang kurang melakukan kesilapan akan keluar selaku pemenang dan tonggak tengah kelahiran Brazil itu mahu rakan sepasukannya mengekalkan fokus sepanjang 90 minit permainan.

"Atas padang ada 11 lawan 11, dan apa-apa boleh berlaku. Mana-mana yang melakukan kesilapan pastinya akan dihukum begitu juga JDT ataupun kami.

"Saya harap pemain akan kekal disiplin dan mengikut perancangan pasukan. Kedua-dua pasukan miliki peluang sama rata, dan saya harap kami boleh lakukan sesuatu," katanya kepada Arena Metro.

Skuad 'The Hawks' berpeluang untuk menamatkan kemarau 32 tahun kejuaraan Piala Malaysia selepas kali terakhir memenanginya pada 1989.

Malah, ia adalah trofi ketiga buat pasukan KL yang turut mencatatkan sejarah unik apabila menjuarai secara hatrik bermula dari 1987, 1988 dan 1989.

"KL dah lama tak menang Piala Malaysia dan ini kesempatan kami untuk menamatkan penantian itu.

"Pemain semua cukup bersemangat dan sudah tidak sabar menanti perlawanan dan kami harap penyokong KL akan datang beramai-ramai beri sokongan kepada kami nanti," kata Josue yang sudah beraksi bersama skuad Warga Kota selama lima musim.

KL City mara ke final dengan menyingkirkan Melaka United menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 pada separuh akhir selepas kedua-dua pasukan terikat dengan agregat 2-2.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 November 2021 @ 4:43 PM