JOSUE (kanan) berkata kejayaan layak ke final Piala FA juga adalah pentas final ketiga berturut-turut. FOTO GHAZALI KORI
JOSUE (kanan) berkata kejayaan layak ke final Piala FA juga adalah pentas final ketiga berturut-turut. FOTO GHAZALI KORI
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Skuad Kuala Lumpur City FC (KL City) sedia mencipta satu lagi sejarah selepas mara ke pentas final Piala FA yang dijadual menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, 22 Julai ini.

Menurut ketua pasukan KL City, Paulo Josue, rakan sepasukannya sudah bersedia untuk mencipta satu lagi kejutan di pentas final kali ini, selepas turut berbuat demikian pada final Piala Malaysia 2021 lalu.

Kebetulan, skuad The City Boys turut berdepan JDT di final Piala Malaysia yang menyaksikan anak buah Bojan Hodak mengejutkan skuad Harimau Selatan itu dengan kemenangan 2-0.

Ujar Josue lagi, kejayaan layak ke final Piala FA juga adalah pentas final ketiga berturut-turut, di mana pada musim lalu KL City melangkah ke final Piala AFC namun gagal menjuarainya selepas kecundang 0-3 di tangan kelab Oman, Al-Seeb.

"Pada tanggal 25 Jun lalu, kita layak ke final Piala FA yang juga final ketiga dalam tempoh tiga musim.

"Tahniah kepada semua pemain yang sudah mencipta sejarah sebelum ini dan sedang mencipta satu lagi sejarah buat kelab ini, serta tahniah buat penyokong yang sanggup menyokong pasukan di mana saja.

"Ayuh bangkit dan berjuang lagi untuk meraih trofi," katanya yang juga tonggak naturalisasi skuad Harimau Malaya.

Terdahulu, KL City mara ke final Piala FA selepas menundukkan Terengganu FC menerusi sepakan penalti 4-2 selepas kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan.

Ini adalah pentas final kelima Piala FA buat KL City selepas muncul juara tiga kali pada 1993, 1994 dan 1999, sementara pada musim 1992 sekadar berpuas hati selaku naib juara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Jun 2023 @ 12:06 PM