MADDISON sedia rebut tempat dalam skuad England. FOTO Reuters
MADDISON sedia rebut tempat dalam skuad England. FOTO Reuters
Reuters

London: Pemain tengah Tottenham Hotspur, James Maddison berkata kualitinya di atas padang dan keyakinan diri boleh membantunya mendapatkan tempat dalam skuad England kendalian Gareth Southgate untuk Euro 2024 di Jerman.

Pemain berusia 27 tahun itu sudah enam kali mewakili pasukan kebangsaan tetapi tidak pernah bermain selama 90 minit penuh.

Walaupun disenaraikan dalam skuad, Maddison diketepikan kerana kecederaan lutut semasa Piala Dunia 2022 di Qatar.

Dia tidak beraksi dalam kekalahan 0-1 England kepada Brazil pada perlawanan persahabatan antarabangsa tetapi masuk sebagai pemain gantian di minit ke-74 menentang Belgium.

Maddison melakukan hantaran lintang rendah kepada Jude Bellingham, yang menjaringkan gol pada minit ke-95 untuk menyelamatkan keputusan seri 2-2 dengan Belgium di Wembley.

"Ada saingan besar, lebih kualiti dalam skuad. Saya tahu kualiti yang saya miliki yang boleh membantu pasukan ini," kata Maddison.

"Saya tidak kekurangan keyakinan dan kepercayaan dalam diri saya untuk melakukan itu, anda perlu menghasilkan ... Menentang Belgium, saya datang dan memberi impak. Saya menunjukkan kepadanya (Southgate) apa yang saya mampu dan saya hanya mahu menunjukkan lebih banyak perkara itu."

England diundi dengan Slovenia, Denmark dan Serbia pada Euro 2024, yang bermula pada 14 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mac 2024 @ 9:41 PM