PENGURUS skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar. -FOTO NSTP
PENGURUS skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad bawah 23 tahun (B-23) negara tidak akan membuang masa apabila akan dipanggil menyertai kem latihan bermula bulan depan sebagai persiapan mengharungi kejohanan Piala Asia B-23 di Qatar pada April ini.

Pengurus skuad B-23 negara, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pihaknya akan memanggil pemain untuk menyertai kem latihan lebih awal demi memastikan pasukan muda negara mampu berada pada tahap optimum sebelum kempen Piala Asia B-23 bermula.

Beliau berkata, pengendali skuad B-23 Juan Torres Garrido akan memanggil barisan pemain terbaik dan tidak menolak kemungkinan ada tonggak baharu akan dipanggil kelak.

"Kita akan memanggil barisan pemain untuk menjalani latihan bermula Mac ini. Torres akan menyenaraikan nama pemain untuk menggalas tanggungjawab terbabit.

"Pada masa sama, kemungkinan ada muka baharu dalam pasukan namun ia bergantung kepada Torres untuk memilih pemain bersesuaian," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Sebagai rekod, skuad Harimau Muda berjaya menempah slot ke pusingan akhir Piala Asia B-23 2024 selepas muncul empat pasukan naib juara kumpulan terbaik dalam aksi kelayakan.

Mereka diundi dalam Kumpulan D bersama Uzbekistan, Vietnam dan Kuwait dengan mereka akan membuka kempen berdepan Uzbekistan pada 17 April.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin sebelum ini meletakkan harapan untuk melihat skuad B-23 negara mara sehingga ke separuh akhir Piala Asia B-23 sekali gus berpeluang mara ke Sukan Olimpik Paris 2024, Julai ini.

Tiga pasukan terbaik di Doha akan layak secara merit ke Paris sementara tempat keempat akan berentap dengan pasukan keempat dari Afrika, Guinea untuk merebut satu lagi tiket ke saingan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Februari 2024 @ 6:01 PM