REAKSI kecewa barisan pemain Arsenal selepas disingkirkan Sporting Lisbon. FOTO AP
REAKSI kecewa barisan pemain Arsenal selepas disingkirkan Sporting Lisbon. FOTO AP
Reuters

London: Penjaga gol Sporting Lisbon, Antonio Adan menyelamatkan sepakan penalti pemain Arsenal, Gabriel Martinelli untuk memastikan pasukannya meraih kemenangan 5-3 menerusi penentuan penalti selepas mereka terikat 1-1 pada pertembungan pusingan 16 Liga Europa, awal pagi tadi.

Kedua-dua pasukan menamatkan saingan dengan agregat 3-3 dalam perlawanan itu tetapi Sporting yang menduduki tangga keempat liga Portugal, mara ke suku akhir selepas Adan menafikan sepakan lemah Martinelli.

Pendahulu Liga Perdana, Arsenal di depan menerusi rembatan Granit Xhaka pada minit ke-19 di Stadium Emirates.

Bagaimanapun Pedro Goncalves menjaringkan gol penyamaan yang menakjubkan untuk pelawat pada minit ke-62.

"Saya rasa kami sudah melakukan yang termampu dalam beberapa tempoh permainan tetapi untuk kebanyakan perlawanan, kami tidak berada pada tahap yang sepatutnya.

"Sebahagian daripada permainan kami melakukannya dengan baik tetapi kami tidak dapat mempamer aksi terbaik. Ia adalah perlawanan yang sengit.

"Ia adalah satu tamparan hebat tersingkir daripada saingan ini kerana kami meletakkan sasaran yang tinggi. Sekarang kami perlu lebih kuat dan pastikan kami menamatkan saingan liga dengan baik," kata kapten Arsenal, Martin Odegaard kepada BT Sport.

Sementara itu, AS Roma bimbingan Jose Mourinho seri tanpa jaringan dengan Real Sociedad di Sepanyol untuk mara menerusi agregat 2-0.

Pasukan tuan rumah mendominasi permainan tetapi pelawat mempamer aksi bertahan. Roma adalah pemenang edisi pertama Liga Persidangan Europa musim lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mac 2023 @ 8:04 AM