DE BRUYNE (kiri) pemain paling mahal.
DE BRUYNE (kiri) pemain paling mahal.
SKUAD Belgium atasi nilai pasukan Jerman dan Perancis.
SKUAD Belgium atasi nilai pasukan Jerman dan Perancis.
Reuters

London: Belgium dianggap pasukan paling bernilai Euro 2016 apabila 23 pemainnya bernilai lebih £50 juta (RM292 juta) berbanding skuad juara dunia Jerman.

Berdasarkan kajian Profit Accumulator, skuad Marc Wilmots itu bernilai £318.9 juta (RM1.86 bilion) berdasarkan bayaran yuran perpindahan terkini bagi 23 pemain yang mewakili setiap negara di kejohanan di Perancis ini.

Senario itu meletakkan Belgium sebagai pasukan paling bernilai berbanding Jerman £264.5 juta (RM1.54 bilion), England £189.7 juta (RM1.1 bilion) dan Perancis £183 juta (RM1 bilion).

Skuad Belgium mempunyai purata yuran perpindahan £13.9 juta (RM81.4 juta) dengan bintang Manchester City Kevin de Bruyne menjadi pemain paling mahal apabila menyertai kelab Inggeris itu dengan bayaran £55 juta (RM322 juta).

Selain itu, turut menyumbang kepada nilai skuad Belgium itu ialah penyerang Christian Benteke yang berpindah ke Liverpool dengan bayaran £32.5 juta (RM190 juta) dan Eden Hazard yang menyertai Chelsea menerusi kos £32 juta (RM187 juta).

Kajian itu turut mendapati nilai 552 pemain di kejohanan itu mempunyai bayaran perpindahan keseluruhan sebanyak £2.2 bilion (RM12.9 bilion) manakala yuran perpindahan paling rendah milik skuad Ukraine iaitu £6.2 juta (RM36.3 juta).

Kelab Sepanyol Real Madrid memiliki dua pemain termahal di Euro 2016 iaitu Gareth Bale dari Wales sebanyak £86 juta (RM505 juta) dan bintang Portugal Cristiano Ronaldo £80 juta (RM469 juta).

Kajian itu turut menyatakan jika Bale dan Ronaldo membentuk satu pasukan, mereka bakal menjadi pasukan keenam termahal di kejohanan berkenaan dan lebih mahal daripada keseluruhan skuad Itali.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2016 @ 10:21 AM