SKUAD kebangsaan hanya mampu mengutip 1034.87 mata.
SKUAD kebangsaan hanya mampu mengutip 1034.87 mata.
Firdaus Hashim
firdaushashim@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Dua kekalahan pada aksi antarabangsa awal bulan ini menyaksikan ranking skuad Harimau Malaya turun satu anak tangga ke kedudukan 155 dunia.

Melalui kemas kini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) semalam, skuad kendalian Tan Cheng Hoe hanya mampu mengutip 1034.87 mata untuk turun dari tangga 154.

Dalam dua aksi persahabatan pada 6 dan 9 Oktober lalu, Malaysia tewas 0-4 di tangan Jordan dan 1-5 kepada Uzbekistan dengan kedua-dua perlawanan itu diadakan di Amman, Jordan.

Kedudukan skuad negara dalam kalangan negara Asia juga mencatatkan penurunan apabila menduduki tangga ke-30 daripada 46 pasukan dari benua ini.

Begitupun di peringkat Asia Tenggara, Malaysia masih lagi mengekalkan posisi kelima terbaik rantau ini.

Pencabar terkuat negara dalam Kumpulan B Piala AFF Disember ini, Vietnam masih lagi muncul pasukan terbaik Asia Tenggara apabila menduduki tangga ke-98 dunia.

Seterusnya diikuti Thailand (117), Filipina (127) dan Myanmar (145) dengan Singapura, Indonesia, Kemboja, Laos, Brunei dan Timor Leste di belakang skuad negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Oktober 2021 @ 5:58 PM