HARIMAU Malaya kalah tiga aksi antarabangsa. FOTO FAM
HARIMAU Malaya kalah tiga aksi antarabangsa. FOTO FAM
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Kekalahan tiga aksi antarabangsa termasuk dua dalam Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun lalu menyaksikan ranking skuad Harimau Malaya jatuh satu anak tangga daripada kedudukan 153 kepada 154 dunia.

Menerusi kemaskini terbaharu oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) hari ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe hanya mampu menghimpun 1041 mata sekali gus kempunan untuk memperbaiki kedudukan ranking itu.

Berdasarkan keputusan aksi sebelum ini, skuad negara tumbang 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan rasmi tier '1' di negara terbabit pada Mei lalu.

Rentak sama berterusan dalam Kelayakan Piala Dunia apabila tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan 1-2 di tangan Vietnam, sebelum bangkit membenam Thailand 1-0.

Malaysia gagal melepasi peringkat kelayakan itu selepas sekadar menghuni tangga ketiga Kumpulan G dengan UAE dan Vietnam layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia.

Bagaimanapun, skuad negara masih berpeluang merebut tiket ke Piala Asia apabila bakal bersaing di pusingan ketiga kelayakan itu yang dijadual pada Februari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:17 PM