FIRDAUS bekas penjaga gol skuad B-23 negara. FOTO NSFC
FIRDAUS bekas penjaga gol skuad B-23 negara. FOTO NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Hanya semusim bersama Negeri Sembilan FC (NSFC), penjaga gol muda Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, sudah membuat keputusan dengan memilih destinasi baharu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2024/2025.

Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun belum mahu mendedahkan nama pasukan baharu akan disertainya walaupun memaklumkan persefahaman dan persetujuan sudah dicapai antara kedua-dua pihak.

"Saya tidak akan bersama lagi dengan pasukan lama iaitu Negeri Sembilan bagi menghadapi saingan Liga M musim ini selepas kontrak berakhir pada Disember lalu.

"Saya perlu mencari pasukan baharu bagi meneruskan karier dalam bola sepak dan Alhamdulillah, pasukan itu sudah ditetapkan, malah persetujuan serta persefahaman sudah dicapai antara kedua-dua pihak.

"Bagaimanapun buat masa ini, saya tidak boleh mengumumkan lagi nama pasukan berkenaan kerana kontrak belum ditandatangani, tapi boleh saya nyatakan bahawa keputusan telah dimuktamadkan," katanya hari ini.

Firdaus Irman yang juga bekas penjaga gol skuad Bawah 23 Tahun Kebangsaan (B-23) antara pemain muda yang menunjukkan peningkatan prestasi memberangsangkan bersama Negeri Sembilan meskipun dia menjadi penjaga gol kedua pasukan itu selepas Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

Pemain kelahiran Pulau Pinang itu mengakui menimba banyak pengalaman berharga sepanjang beraksi bersama Negeri Sembilan yang dibimbing K Devan.

Malah, Devan sendiri pernah menyifatkan pemain berkenaan mempunyai potensi mengikut jejak penjaga gol utama Harimau Malaya dan Johor Darul Ta`zim (JDT), Ahmad Syihan Hazmi Mohamed, yang sebelum ini pernah beraksi bersama Negeri Sembilan.

"Saya akan memanfaatkan segala pengalaman ketika bersama Negeri Sembilan untuk membantu pasukan baharu sepanjang saingan Liga M nanti," katanya yang mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan NSFC dan berharap segala urusan yang tertangguh dengan kelab berkenaan dapat diselesaikan dengan baik secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Februari 2024 @ 9:37 PM