SEBAHAGIAN aksi persahabatan antara NSFC dengan TFC di Paroi, Selasa lalu. FOTO Ihsan NSFC
SEBAHAGIAN aksi persahabatan antara NSFC dengan TFC di Paroi, Selasa lalu. FOTO Ihsan NSFC
Mohd Amin Jalil


Seremban: Meskipun belum dapat melengkapkan senarai pemain bagi menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga M) musim ini yang bakal membuka tirainya tidak lama lagi, skuad Negeri Sembilan FC (NSFC) terus berusaha memantapkan pasukan.

Ketua jurulatih, K Devan berkata, pihaknya meneruskan beberapa lagi aksi persahabatan untuk memastikan anak buahnya berada pada tahap prestasi terbaik sebelum cabaran bermula.

Katanya, Negeri Sembilan bakal menentang Manjung City FC di Kompleks Sukan PKNS, malam esok dan kemudian bertemu Perak FC pada 8 Februari ini.

"Selepas itu akan ada lagi beberapa siri perlawanan persahabatan seperti yang telah kita rancangkan sebelum cabaran pasukan dalam Liga Super musim ini bermula 25 Februari nanti.

"Saya yakin dan percaya aksi persahabatan ini penting bagi menguji dan menilai prestasi pasukan terutama persefahaman pemain agar kombinasi yang kita bina benar-benar berkesan.

"Saya mengharapkan pemain dapat mengekalkan disiplin dan taktikal permainan agar setiap perancangan yang diketengahkan dalam latihan mampu diterjemahkan dengan baik dalam perlawanan nanti," katanya di sini, hari ini.

Dalam persiapan pramusim setakat ini, skuad Hobin Jang Hobin yang menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super musim lalu, sudah mengadakan aksi persahabatan menentang tiga pasukan iaitu Penang FC, Kelantan FC dan Terengganu FC.

Devan yang membawa Negeri Sembilan menjulang kejuaraan Liga Perdana pada musim 2021, mengakui beberapa pemain baharu yang dibawa masuk sudah mula menunjukkan prestasi yang memberangsangkan sama ada dalam latihan mahupun aksi persahabatan.

"Sebagai contoh, penjaga gol baharu, Sikh Izhan Narzel (Sikh Azman), yang menunjukkan persembahan yang baik dalam tiga aksi persahabatan.

"Walaupun baru berusia 20 tahun, dia berjaya mempamerkan kualiti persembahan diperlukan pasukan dan saya yakin dia serta beberapa lagi pemain muda boleh digilap untuk beraksi di peringkat yang lebih tinggi," kata pengendali berasal dari Bahau ini.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan penyokong pasukan itu dapat memberikan sokongan yang baik kepada pasukan berkenaan.

"Saya minta penyokong dapat hadir beramai-ramai ke stadium (gelanggang sendiri) untuk menyokong bukan sahaja pada perlawanan sebenar nanti tapi juga aksi persahabatan yang diadakan di sini, kerana ia mungkin akan dapat membantu sedikit sebanyak sumber kewangan NSFC," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 3:19 PM