YUSOFF sarung jersi Terengganu pada era 90-an. FOTO TFC
YUSOFF sarung jersi Terengganu pada era 90-an. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penolong jurulatih skuad Piala Belia Terengganu yang juga legenda bola sepak negeri, Yusoff Ali, 56, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Kampung Padang Midin, dekat sini, pada jam 12.45 tengah malam tadi.

Berita sedih itu dimaklumkan anak kedua Allahyarham, Muhammad Ikhwan Yusoff, 30 yang reda menerima berita duka itu ketika suasana sambutan Aidilfitri masih dirai.

Katanya, Allahyarham bapanya yang beraksi di posisi tengah ketika menyarung jersi skuad Terengganu meninggal dunia di sisi ibunya, Wan Rohani Wan Mustapha, 55, akibat sesak nafas berikutan penyakit asma dihidapinya.

"Sebelum itu arwah bapa mengadu sesak nafas akibat penyakit asma, pada jam 12.45 tengah malam tadi, arwah bapa menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di sisi ibu serta tiga anak termasuk saya selain sanak-saudara.

"Walaupun begitu sedih atas kehilangan bapa tercinta lebih-lebih lagi suasana sambutan Aidilfitri masih dirasai kerana memasuki raya keenam, kami tetap reda dan berdoa semoga arwah di tempatkan dalam kalangan insan beriman.

"Saya sekeluarga juga memohon semua pemain dan peminat setia bola sepak Terengganu dan negara mendoakannya selain memohon maaf jika arwah bapa ada melakukan kesilapan ketika hayatnya," katanya ketika dihubungi.

Muhammad Ikhwan berkata, jenazah bapanya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu pada jam 11.30 pagi tadi.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC), Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, kematian legenda bola sepak negeri itu satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negeri.

Katanya Allahyarham bukan sahaja pemain tengah berwibawa, malah juga mampu menjaringkan gol ketika beraksi bersama Terengganu era 90-an selain kerap mencurahkan idea bernas bagi memajukan sukan bola sepak negeri.

"Arwah yang juga bekas pemain Harimau Muda seorang yang komited ketika menjalankan tugas, kematiannya satu kehilangan besar kepada dunia bola sepak negeri selaku penggiat sukan nombor satu yang sangat aktif selain pernah dinobatkan pemain cemerlang ketika mewakili negeri," katanya ketika dihubungi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Mei 2022 @ 3:20 PM