Pasukan BSN dan pegawai ceria muncul juara. FOTO Ihsan BSN
Pasukan BSN dan pegawai ceria muncul juara. FOTO Ihsan BSN
Malik Muhamad


PASUKAN Bank Simpanan Nasional (BSN) terpaksa menunggu hingga ke penentuan sepakan penalti sebelum dinobatkan sebagai juara Liga Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Terengganu (PBDKT).

Pada final di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah Kuala Terengganu, skuad bimbingan Abu Bakar Yassim mencatat kemenangan 3-0 mengatasi pasukan Kala Team melalui sepakan penalti selepas terikat 1-1.

Gol BSN dijaringkan oleh Nur Zulan Zakaria manakala skuad Kala Team menerusi Muhammad Saifullah.

Penjaga gol BSN, Muhammad Khairul Naim muncul wira pasukan selepas menafikan tiga sepakan penalti pasukan lawan.

Jaringan penalti BSN disempurnakan Aiman Amran, Faris Ghazali dan Nur Zulan dengan pemain terbaik perlawanan akhir menjadi milik Wan Jizri Wan Mohamad Khazeri daripada Kala Team.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pegawai Daerah Kuala Terengganu, Zulkifli Ali.

Turut hadir Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Presiden PBDKT, Mohamed Sekanther Abdul Hamed.

Pengurus BSN, Saharan Abdullah berkata, disiplin tinggi yang dipamerkan pemainnya bermula ketika peringkat awal pertandingan menjadi kunci kejayaan pasukannya.

"Saya gembira dengan komitmen dan disiplin pemain bukan hanya pada aksi final tetapi sepanjang liga berlangsung.

"Kejayaan ini juga adalah hasil kerjasama semua biarpun terpaksa menunggu hingga ke penentuan sepakan penalti," ujar Saharan, turut gembira selepas pasukannya menyingkirkan Fajar Menyinsing 2-1 pada separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Julai 2019 @ 5:44 PM