REGRAGUI (kanan) akui bertanggungjawab di atas penyingkiran Maghribi. FOTO AFP
REGRAGUI (kanan) akui bertanggungjawab di atas penyingkiran Maghribi. FOTO AFP
Reuters

San Pedro: Jurulatih Mahgribi, Walid Regragui mengakui bertanggungjawab sepenuhnya atas kekalahan mengejutkan pasukannya di Piala Negara-Negara Afrika selepas tewas kepada Afrika Selatan di peringkat 16 terakhir dan turut meratapi kekurangan mereka apabila tewas 0-2.

Atlas Lions selaku salah satu pasukan pilihan pra kejohanan menjadi pasukan gergasi baharu yang mengucapkan selamat tinggal kepada kejohanan ini selepas mensia-siakan beberapa peluang menjaringkan gol dan dihukum Afrika Selatan di Stadium Laurent Pokou di San Pedro.

Evidence Makgopa menjaringkan gol yang tidak dijangka pada minit ke-57 sebelum Teboho Mokoena menyempurnakan kemenangan itu pada masa tambahan.

"Kami mungkin dapat menentukan permainan pada separuh masa pertama tetapi pada tahap ini anda akan segera dihukum akibat mensia-siakan sebarang peluang yang ada," katanya.

Mahgribi mempunyai peluang emas untuk menyamakan kedudukan dengan berbaki lima minit yang tinggal apabila mereka dihadiahkan sepakan penalti akibat bola terkena tangan namun Achraf Hakimi meledakkan percubaannya ke palang.

"Penalti itu sangat mengecewakan kami dan sudah pasti kami tidak melakukan semua yang dikehendaki tetapi saya bertanggungjawab sepenuhnya," kata Regragui.

Mahgribi berharap untuk memenangi gelaran Piala Negara Afrika pertama sejak 1976, selepas mencipta sejarah di Piala Dunia 2022 dengan menjadi pasukan Afrika pertama yang mara ke separuh akhir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 11:33 AM