MAGHRIBI julang benua Afrika. -FOTO Reuters
MAGHRIBI julang benua Afrika. -FOTO Reuters
AFP

Doha: Jurulatih Maghribi, Walid Regragui berkata beliau percaya pasukan Afrika akan memenangi Piala Dunia dalam tempoh 15 hingga 20 tahun akan datang selepas pasukannya menduduki tempat keempat di Qatar.

Atlas Lions yang menjadi pasukan Afrika pertama mara ke separuh akhir dalam sejarah Piala Dunia, tewas dalam penentuan tempat ketiga 1-2 kepada naib juara 2018 Croatia namun meninggalkan impak besar di Qatar.

Pada Piala Dunia 2026 yang akan diadakan di seluruh Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico akan diperluaskan kepada 48 pasukan yang mana Afrika akan mempunyai sekurang-kurangnya sembilan slot berbanding lima ketika ini.

"Dengan sembilan penyertaan, kami akan belajar. 15, 20 tahun saya pasti pasukan Afrika akan memenangi Piala Dunia kerana kami akan belajar," kata Regragui.

"Kami mempunyai tempat untuk dilalui. Kami perlu membinanya dengan kerja keras dan keinginan. DNA ini bukan saja dibina untuk Maghribi tetapi untuk benua."

Maghribi menduduki tempat teratas kumpulan termasuk Croatia dan Belgium, yang menduduki tempat ketiga pada Piala Dunia 2018, sebelum menyingkirkan Sepanyol dan Portugal untuk mara ke empat pasukan terakhir.

Perjuangan mereka tamat di separuh akhir apabila tewas kepada juara bertahan Perancis tetapi Regragui menggesa pemainnya meneruskan aksi bersejarah mereka dengan memenangi Piala Negara-Negara Afrika tahun depan.

"Saya berkata kepada pemain di bilik persalinan jika anda mahu melakar sejarah anda perlu memenangi Piala Negara-Negara Afrika," katanya.

"Kita perlu menguasai benua kita."

Maghribi hanya sekali dinobatkan sebagai juara Afrika pada tahun 1976, tetapi persembahan mereka di Piala Dunia menunjukkan mereka adalah pasukan yang sedang meningkat naik di bawah Regragui, yang hanya dilantik pada Ogos.

"Pagi esok kami akan melihat semuanya dan semua menyedari kami sudah melakar pencapaian hebat di sini. Kami memperoleh banyak pengalaman dalam masa yang singkat," kata Regragui.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Disember 2022 @ 7:44 AM