REAKSI kedua-dua pemain Jordan dan Korea Selatan selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
REAKSI kedua-dua pemain Jordan dan Korea Selatan selepas tamat perlawanan. FOTO AFP
AFP

Doha: Korea Selatan dipimpin Son Heung-min berjaya mengelak daripada menerima aib di Piala Asia selepas gol sendiri pada masa kecederaan membolehkan mereka seri 2-2 dengan Jordan, hari ini.

Sehari selepas Iraq menewaskan pasukan pilihan, Jepun, Jordan dilihat akan mengikut jejak langkah sama selepas gol sendiri Park Yong-woo dan jaringan Yazan Al-Naimat pada separuh masa pertama menafikan kelebihan gol Korea menerusi sepakan penalti Son pada minit ke-9.

Tetapi Yazan Al-Arab menjaringkan gol ke gawang sendiri pada minit pertama masa kecederaan untuk membolehkan Korea di bawah kendalian Jurgen Klinsmann meraih satu mata berharga dalam saingan Kumpulan E.

Kemenangan bagi mana-mana pasukan akan membolehkan mereka mara ke pusingan kalah mati dengan berbaki satu perlawanan.

Korea menewaskan Bahrain 3-1 dalam perlawanan pembukaan mereka dan akan menentang Malaysia dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Khamis ini dengan tiket ke peringkat 16 terakhir masih dalam genggaman mereka.

Begitu juga dengan Jordan, yang menewaskan Malaysia 4-0 dan akan menentang Bahrain pada hari sama aksi Korea bertemu Malaysia.

Klinsmann terpaksa melakukan satu pertukaran berbanding perlawanan pertama apabila membawa masuk penjaga gol, Jo Hyeon-woo untuk menggantikan Kim Seung-gyu.

Kim mengalami koyak ligamen anterior cruciate di lutut kanannya semasa sesi latihan dan sudah diketepikan daripada baki kejohanan ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2024 @ 10:24 PM