REAKSI skuad Harimau Malaya ketika tewas 0-4 kepada Jordan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
REAKSI skuad Harimau Malaya ketika tewas 0-4 kepada Jordan. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jika benar wujud 'tangan ghaib' di dalam pasukan bola sepak Malaysia, mereka harus dedahkan terus individu berkenaan tanpa bertanya soalan 'cepu emas' untuk membesarkan lagi isu itu.

Pemerhati bola sepak negara, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu, malah ia isu berbangkit sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mungkin ditimbulkan kembali selepas persembahan pasukan negara tidak memberangsangkan di Piala Asia 2023.

Jelasnya, ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon berhak untuk melayan atau sebaliknya jika soalan itu ditanya tanpa jelas kerana ia boleh menimbulkan spekulasi lebih besar dalam arena bola sepak Malaysia.

"Benda ini satu persepsi sama ada benar-benar berlaku atau sebaliknya. Soalan seperti itu harus ditanyakan terus kepada orang dimaksudkan itu untuk menjawab apakah ia benar berlaku. Jika hendak tanya Pan-gon, mereka harus menyatakan nama individu itu.

"Kita harap isu ini (tangan ghaib) tiada dalam bola sepak Malaysia kerana ia adalah perkara negatif di dalam pasukan kebangsaan. Jika tidak, sampai bila-bila kita akan cakap benda kurang bijak ini yang tidak sepatutnya berlaku demi kebaikan bola," katanya kepada Arena Metro.

Menurut Pekan, jika soalan itu timbul tanpa diberikan butiran lengkap orang yang terlibat itu, ia sama seperti surat layang sahaja yang ingin mencipta sesuatu persepsi lain.

Isu ini timbul selepas terdapat peminat bola sepak di media sosial yang mengaitkan kesilapan taktikal Pan-gon ketika menentang Jordan dan Bahrain disebabkan campur tangan pihak luar.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan, pengendali skuad Harimau Malaya, Pan-gon menegaskan dirinya tidak peduli berkenaan isu itu kerana ia sudah membuktikan dengan meraih keputusan positif sejak ambil alih pasukan kebangsaan.

Jelas Pan-gon, sejak dirinya membimbing pasukan negara pada Mac 2022 lalu, beliau berjaya memacu pasukan mencatat 18 kemenangan dalam 28 perlawanan termasuk layak ke Piala Asia secara merit selepas 43 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 January 2024 @ 4:21 PM