TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. FOTO ARKIB NSTP
TUNKU Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim. FOTO ARKIB NSTP
Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Ketika skuad Harimau Malaya hanya tinggal sehari sebelum turun menentang Bahrain dalam aksi kedua Kumpulan E Kelayakan Piala Asia, malam esok, jurulatih negara, Kim Pan-gon sempat memujuk Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Mengakui terkejut dengan keputusan pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, Pan-gon yang juga pengurus skuad kebangsaan menggesa Tunku Ismail pertimbangkan semula keputusan mengundurkan diri daripada arena bola sepak tempatan.

"Saya harap Tunku Ismail mempertimbangkan semula keputusannya. Bagi saya, satu kerugian amat besar kepada bola sepak Malaysia jika Tunku Ismail memutuskan untuk keluar daripada dunia bola sepak.

"Dalam masa kurang sedekad, Tunku Ismail berjaya membawa JDT ke tahap lebih tinggi selari dengan semangat cintakan bola sepaknya yang mendalam. Lantaran itu, bola sepak Malaysia sememangnya perlukan TMJ (Tunku Mahkota Johor)," katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.

Malah sebelum ketibaannya di Kuala Lumpur lagi, Pan-gon sudah tahu dan sedar akan pengaruh besar Tunku Ismail terhadap bola sepak Malaysia.

"Tunku Ismail meletakkan JDT ke tahap membolehkan kelab itu layak bermain dalam Liga Juara-Juara Asia.

"Terima kasih kepada sumbangan Tunku Ismail ini apabila JDT sudah mendapat pengiktirafan di seluruh Asia, sekali gus membantu meningkatkan taraf bola sepak kelab di Malaysia.

"Mentaliti kemenangan diterapkan Tunku Ismail adalah penting untuk melaksanakan perubahan dalam bola sepak tempatan," katanya.

Jelasnya lagi, Tunku Ismail perlu kekal bukan sahaja demi kelabnya, tetapi untuk kepentingan pasukan kebangsaan.

Menurutnya, di bawah kendaliannya, JDT menyalurkan lebih 15 pemain kepada pasukan kebangsaan malah lebih ramai pemain baru yang lebih baik sedang dalam persiapan.

"Tunku Ismail sentiasa menyokong pasukan kebangsaan sejak awal lagi dan kami amat menghargai jasanya.

"Malah sebelum datang, saya sudah mengetahui akan kemudahan dan infrastruktur latihan JDT adalah bertaraf Eropah. Kami menghargai tawaran Tunku Ismail untuk Harimau Malaya berlatih di Johor.

"Berbekalkan infrastruktur itu, mereka yang berlatih di sana boleh mendapat manfaat daripada kemudahan terkini. Pada sudut pandangan peribadi saya, ia dilihat sebagai satu lagi sumbangan JDT kepada bola sepak Malaysia," katanya.

Tambah Pan-gon, prestasi disumbangkan JDT membantu meningkatkan lagi profil bola sepak Malaysia terutama di sudut pembangunan dan penjenamaan bola sepaknya yang mampu dijadikan contoh kepada kelab bola sepak negeri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Jun 2022 @ 4:19 PM