PENJAGA gol Jordan, Yazan Al Arab menepis ke gawang sendiri membolehkan Korea mengikat kedudukan 2-2. -FOTO Reuters
PENJAGA gol Jordan, Yazan Al Arab menepis ke gawang sendiri membolehkan Korea mengikat kedudukan 2-2. -FOTO Reuters
AFP

Doha: Korea Selatan berjaya mengelak kejutan terbesar di Piala Asia apabila melakarkan keputusan seri 2-2 menentang Jordan dalam satu lagi aksi kumpulan E.

Sehari selepas Iraq menewaskan pasukan pilihan kejohanan Jepun, Korea memerlukan gol sendiri pada masa kecederaan untuk mendapatkan satu mata apabila Jordan bangkit mengikat kedudukan selepas Korea mendahului hasil sepakan penalti Son Heung-min.

"Kami menjangkakan perlawanan yang sukar dan ia memang sukar," kata jurulatih Korea Selatan, Jurgen Klinsmann dan kini pasukannya hanya memerlukan sekurang-kurang seri pada perlawanan terakhir kumpulan menentang Malaysia untuk menjamin tempat ke pusingan 16 terakhir.

"Selepas gol pendahuluan kami memperlahankan tempo permainan dan itu tidak begitu baik. Kami tewas banyak kali ketika berdepan satu lawan satu," kata Klinsmann yang memenangi Piala Dunia ketika bersama Jerman sebagai pemain.

"Itu adalah perlawanan yang mana anda akan belajar banyak daripadanya."

Korea Selatan cuba menjuarai Piala Asia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun dan Son meletakkan mereka di depan hasil dari sepakan penalti pada minit kesembilan.

Tetapi jaringan sendiri Park Yong-woo dan jaringan Yazan Al-Naimat meletakkan Jordan di hadapan pada separuh masa.

Korea Selatan kelihatan seperti tidak berpeluang menjaringkan gol pada separuh masa kedua tetapi memperoleh gol penyamaan apabila Yazan Al-Arab menepis rembatan Hwang In-beom ke gawangnya sendiri pada minit pertama masa kecederaan.

"Adalah penting untuk melihat bahawa apabila perkara tidak menjadi seperti yang diinginkan bagaimana tindak balas pemain," kata Klinsmann.

"Itulah yang saya ingin tahu."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 8:39 AM