PEMAIN Korea Selatan memberi reaksi ketika penentuan penalti. FOTO Reuters
PEMAIN Korea Selatan memberi reaksi ketika penentuan penalti. FOTO Reuters
AFP

Doha: Korea Selatan yang diketuai Son Heung Min bangkit dari 'kematian' untuk menewaskan Arab Saudi 4-2 menerusi sepakan penalti dan menyertai Uzbekistan ke suku akhir Piala Asia.

Korea Selatan akan menentang Australia dalam pusingan lapan terakhir manakala Uzbekistan menentang tuan rumah dan penyandang juara, Qatar yang menewaskan Thailand 2-1.

Penjaga gol kedua, Jo Hyeon Woo adalah wira untuk Korea Selatan di Doha, menyelamatkan penalti daripada Sami Al Najei dan Abdulrahman Ghareeb dalam penentuan sepakan penalti.

Hyeon Woo hanya bermain kerana kecederaan lutut yang serius penjaga gol utama, Kim Seung Gyu ketika dalam latihan pada awal kejohanan.

Selepas permainan terikat 1-1, Hwang Hee Chan menjaringkan penalti penentuan untuk pasukan bimbingan Jurgen Klinsmann, yang mensasarkan menamatkan kemarau kejuaraan Piala Asia selama 64 tahun untuk Korea Selatan.'

Jurulatih Arab Saudi, Roberto Mancini hilang di terowong sebelum Hee Chan mengambil penalti kemenangan.

"Saya rasa kemenangan ini memberikan pasukan tenaga yang diperlukan," kata Klinsmann, yang berdepan kritikan hebat di Korea Selatan berikutan keputusan seri dengan Jordan dan Malaysia dalam peringkat kumpulan.

"Ia memberi lebih semangat kepada pasukan. Ini adalah kumpulan pemain yang saya sangat suka bekerja kerana mereka mempunyai hati yang tinggi."

Mancini berkata beliau tidak bermaksud 'tidak menghormati sesiapa' dengan meninggalkan padang sebelum penentuan sepakan berakhir.

"Saya minta maaf, saya fikir ia sudah selesai," kata pengendali dari Itali itu.

Di hadapan 40,000 penonton di Stadium Education City, Abdullah Radif membuka jaringan untuk Saudi 33 saat selepas masuk sebagai pemain gantian separuh masa.

Bagaimanapun, Cho Gue Sung berjaya menyamakan kedudukan untuk mengheret aksi ke masa tambahan sebelum pemenang ditentukan menerusi penentuan penalti.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 31 January 2024 @ 11:15 AM