Pengendali Manchester City, Pep Guardiola. FOTO File EPA
Pengendali Manchester City, Pep Guardiola. FOTO File EPA
Agensi

Sao Paulo: Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) dilaporkan berminat mendapatkan khidmat Pep Guardiola sebagai jurulatih baru mereka.

Skuad Selecao sedang mencari ketua jurulatih baharu selepas Tite meninggalkan tempatnya susulan penyingkiran mengejut daripada suku akhir Piala Dunia apabila tewas menerusi penalti ke atas Croatia, dengan Rodrygo dan Marquinhos gagal menyempurnakan penalti.

Menurut laporan Sport yang berpangkalan di Sepanyol, Brazil berminat mendapatkan khidmat Guardiola, sekalipun bos Manchester City itu sudah menandatangani kontrak baharu bulan lalu di Etihad hingga 2025.

Presiden CBF Ednaldo Rodrigues yang dipertanggungjawabkan melantik jurulatih baharu sudah memahami dan bersetuju menunaikan apa sahaja syarat untuk menarik minat Guardiola menerima tugas sebagai pengendali skuad Samba itu pada penghujung musim 2022-23 dengan kontrak baharu yang ditanda tangani bukan menjadi masalah besar untuk merealisasikan impian itu.

Guardiola ketika ini menjadi pilihan nombor satu untuk menggantikan Tite, dengan CBF menyifatkan warga Sepanyol itu sebagai antara pengendali terbaik di dunia.

Secara tradisinya, skuad Selecao hanya melantik jurulatih kelahiran Brazil, tetapi selepas kegagalan Tite yang mendapat kritikan hebat susulan penyingkiran awal daripada Piala Dunia.

CBF kini bersedia melantik bukan warga Brazil sebagai jurulatih dan memberi tumpuan untuk mendapatkan pilihan terbaik.

Brazil tidak terdesak untuk melantik pengendali baharu ketika mereka tidak mempunyai jadual perlawanan paling hampir sehingga pertengahan 2023 - apabila saingan kelayakan Amerika Selatan untuk Piala Dunia 2026 bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Disember 2022 @ 6:06 PM