ARTETA (kiri) memantau sesi latihan pemainnya di  George Mason University Field House.
ARTETA (kiri) memantau sesi latihan pemainnya di George Mason University Field House.
Reuters

London: Pengurus Arsenal Mikel Arteta berkata, dia gembira dengan kepantasan urusan perpindahan kelab Liga Perdana Inggeris itu pada jendela penutup musim yang membolehkan mereka memperkuatkan lagi pasukan.

Arsenal menandatangani Declan Rice dari West Ham United dengan harga 105 juta pound (RM623 juta) pada Sabtu lalu. Pemain tengah England itu yang ketiga ditandatangani selepas mendapatkan Kai Havertz dan Jurrien Timber.

"Setiap pemain baharu kami memberikan keistimewaan kepada pasukan," kata Arteta kepada wartawan menjelang aksi persahabatan pra musim Arsenal menentang skuad All-Stars Major League Soccer (MLS) di Washington esok.

"Kami berpuas hati seperti yang anda lihat. Kami berjaya mendapatkan pemain yang kami mahu. Kami tandatangani mereka awal dan mereka menyesuaikan diri dengan pantas. Kami mempunyai lebih masa untuk bersiap sedia. Mereka pula mempunyai peluang terbaik mempamerkan kebolehan sebenar."

Ketika ditanya kemungkinan mendapatkan pemain tambahan sebelum jendela ditutup pada 1 September, Arteta berkata: "Lihat dulu, masih ada banyak masa di pasaran dan terdapat banyak jangkaan ke atas beberapa pemain kami.

"Kami akan bersedia, masih ada masa melakukannya. Saya yakin urusan akan berjalan lancar."

Arsenal memulakan musim baharu di tempat sendiri dengan menentang Nottingham Forest pada 12 Ogos.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 Julai 2023 @ 7:34 AM