MULLER kekal di Bayern sehingga 2025. FOTO BAYERN MUNICH
MULLER kekal di Bayern sehingga 2025. FOTO BAYERN MUNICH
Agensi

Munich: Penyerang Bayern Munich Thomas Muller menyambung kontraknya dengan kelab itu sehingga Jun 2025.

Pemain berusia 34 tahun sudah bersama Bayern sejak dia berusia 10 tahun dan sejak membuat penampilan sulung bersama skuad senior pada 2008, dia sudah melakukan 684 penampilan kompetitif untuk pasukan utama, meletakkannya di tempat kedua dalam senarai penampilan terbanyak bersama Bayern.

Muller membantu kelab itu memenangi 12 kejuaraan Bundesliga, dua Liga Juara-Juara, Piala Kelab Dunia Fifa dan trofi Piala Super Uefa serta enam Piala DFB dan lapan Piala Super Jerman.

Di pentas antarabangsa, penyerang Jerman itu memenangi Piala Dunia 2014 di Brazil.

Muller memberitahu laman web Bayern: "Saya gembira perjalanan karier di Bayern dapat diteruskan. Saya mahu memainkan peranan penting untuk kami kekal berjaya sebagai satu pasukan dan keseluruhan kelab.

"Adalah penting untuk saya membantu mengemudi pasukan ke arah yang betul. Saya mahu menggembirakan peminat kami dengan jaringan gol serta membantu mencipta gol selain cuba meraih lebih banyak gelaran.

Pengarah sukan Bayern, Christoph Freund menambah: "Kami sangat gembira apabila Thomas Muller akan kekal di FC Bayern untuk satu musim lagi.

"Dia seorang pemimpin di dalam dan di luar padang, sentiasa menjadi contoh dan amat berharga untuk pasukan. Thomas mendorong pasukan dengan sikap terbuka dan positifnya di dalam dan di luar padang.

"Cara dia bermain sangat bijak dan dia adalah pemain serba boleh. Thomas juga kurang mengalami kecederaan dan sentiasa bersama pasukan."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 9:01 AM