KANE meraikan jaringannya. FOTO AFP
KANE meraikan jaringannya. FOTO AFP
AFP

Munich: Harry Kane berkata, kemenangan 3-0 Bayern Munich ke atas Stuttgart adalah 'perlawanan terbaik pasukan setakat ini', selepas juara bertahan itu kini hanya ketinggalan empat mata di belakang pendahulu Bundesliga, Bayer Leverkusen.

Harry Kane menjaringkan dua gol dan kini mengumpul 20 gol hanya selepas 14 perlawanan liga sejak menyertai Bayern pada musim panas lalu dari Tottenham.

"Ia mungkin perlawanan terbaik kami setakat tahun ini menentang pasukan yang sangat sukar.

"Mereka (Stuttgart) berada di belakang kami dalam saingan liga, perlawanan utama sebelum rehat musim sejuk dan kami menguasai permainan sepanjang masa.

"Mereka hanya memiliki peluang yang terhad, berbeza dengan kami yang mempunyai lebih banyak peluang untuk menjaringkan beberapa gol lagi," kata Kane.

Bayern kehilangan beberapa pemain utama kerana kecederaan pada perlawanan itu termasuk Leon Goretzka, Joshua Kimmich, Serge Gnabry, Kingsley Coman dan Noussair Mazraoui.

Kemenangan 3-0 Leverkusen ke atas Eintracht Frankfurt sebelum aksi Bayern-Stuttgart, memungkinkan pasukan diwakili Kane itu ketinggalan lebih jauh di belakang Leverkusen di bawah bimbingan Xabi Alonso.

Kane yang masih mengimpikan trofi pertamanya berkata: "Bayer Leverkusen masih kuat dan kekal di puncak liga dengan kelebihan empat mata, jadi kami hanya perlu menang sebanyak mungkin perlawanan selepas ini.

"Perjalanan masih jauh, kita belum sampai separuh musim, jadi anda tidak boleh terlalu berasa selesa.

"Kami perlu menunjukkan kebangkitan selepas minggu lalu, dan bagi saya, kami berjaya melakukannya."

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2023 @ 11:08 AM