SUHAIMI (tengah) ketika sesi latihan TFC semalam. FOTO Ghazali Kori
SUHAIMI (tengah) ketika sesi latihan TFC semalam. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad

Kuala Terengganu: Pengalaman berlatih bersama skuad kebangsaan bawah kendalian Kim Pan-gon selain pengalaman beraksi di pentas Asia bakal dimanfaatkan sebaik mungkin penjaga gol nombor satu Terengganu FC (TFC), Suhaimi Husin berdepan `peluru' Johor Darul Ta`zim (JDT) Jumaat ini.

Gergasi Pantai Timur itu bakal membuat perhitungan dengan gergasi Liga Malaysia (Liga M) pada aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Jelas penjaga gol kelahiran Besut itu, pengalaman dikutip bersama skuad kebangsaan dan saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) begitu berharga buat dirinya dalam misi membantu pasukan melakar kemenangan dalam pentas final itu.

Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu mengakui barisan penyerang JDT cukup bahaya jika dibiarkan bermaharajalela.

"Selepas mengharungi lebih 20 perlawanan pada musim ini, keyakinan saya kian bertambah lebih-lebih lagi saya juga sempat berguru dengan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan bawah kendalian Pan-gon ketika Kejohanan Pestabola Merdeka Oktober lalu.

"Tambah memberi lebih keyakinan, aksi di pentas Piala AFC berdepan kelab terbaik Australia musim lalu, Central Coast Mariners sebanyak dua kali selain kelab Indonesia, Bali United dan kelab Filipina, Stallion Laguna FC mampu meningkatkan lagi prestasi dan motivasi saya.

"Jadi jika tanya saya sama ada sudah bersedia berdepan dengan rangkaian pemain JDT yang kita tahu memiliki ramai pemain mampu menjaringkan gol, ya saya sudah bersedia, lagipun ini final pertama saya beraksi jika diturunkan jurulatih," katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, petang semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Disember 2023 @ 9:48 PM