Safawi (kiri) melepasi pemain Turkmenistan. FOTO Ihsan FB JDT
Safawi (kiri) melepasi pemain Turkmenistan. FOTO Ihsan FB JDT
Syazwan Msar


JUARA Liga Super 2019 Johor Darul Ta’zim (JDT) terus mengekalkan momentum kemenangan pada siri jelajah pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE) apabila berjaya menewaskan pasukan kebangsaan Turkmenistan 2-1.

Anak buah Benjamin Mora yang sebelum ini menewaskan kelab Dibba Al-Fujairah 1-0 memberi motivasi kepada pemain untuk merekodkan kemenangan pada perlawanan ketiga siri jelajah pramusim itu.

Pada aksi itu, skuad Harimau Selatan tampil dengan kesebelasan terbaik termasuk menurunkan ayam tambatannya, Diogo Santo dan Safawi Rasid.

Skuad Harimau Selatan terlebih dahulu berada di depan pada minit 39 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Safawi.

Turkmenistan yang berada di ranking 129 dunia menyamakan kedudukan menerusi Metdayev Akmammet pada minit 53.

Diogo yang berasal dari Brazil memastikan kemenangan berpihak kepada JDT apabila menyumbat gol kedua pasukan menerusi sepakan penalti selang lapan minit kemudian.

JDT yang bakal beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL) buat musim kedua berturut-turut, akan meneruskan aksi pra musim berdepan kelab Slovakia, MSK Zilina (29 Januari) dan Emirates FC (30 Januari).

Untuk rekod, dalam kempen ACL, skuad Harimau Selatan diundi dalam Kumpulan G dan akan bertemu Vissel Kobe dari Jepun pada 12 Februari ini di Stadium Misaki Park, Kobe.

Kemudian gergasi kelab Liga Malaysia itu akan membuka tirai saingan domestik menentang Kedah bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 January 2020 @ 8:09 PM